https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mukhriz, cakaplah apa saja tentang Anwar


 Adalah hak Mukhriz Mahathir untuk bercakap bahawa masa Anwar Ibrahim sudah berlalu dan Pakatan Harapan (PH) perlukan pemimpin baru.

Maka penulis ini pun ada hak yang sama untuk mengulas komen Mukhriz Mahathir itu.

Masyarakat kita dan negara Malaysia ini bersikap terbuka.

Cuma Mukhriz Mahathir elok juga menyedari betapa ramai rakyat biasa sama ada anggota PKR atau bukan, penyokong PH atau bukan yang terluka di hati apabila ayahanda kepada Mukhriz bersikap mungkir janji kerana enggan melepaskan jawatan perdana menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar Ibrahim.

Cakaplah apa jua yang Mukhriz Mahathir mahu cakapkan untuk memperkecil dan memperlekeh Anwar Ibrahim sebab Anwar Ibrahim berjiwa besar untuk terganggu dengan kata-kata yang Mukhriz lontarkan itu.

Tetapi penulis kerdil ini tidak akan membiarkan pemimpinnya yang telah berkorban untuk rakyat dan negara meringkuk di dalam penjara lebih 11 tahun lamanya diperkotak-katik oleh seorang ahli politik muda anak bangsawan yang tidak pernah semalam pun meringkuk dalam lokap kerana berani bersuara untuk rakyat.

Namun begitu penulis masih memberi peluang dan hak Mukhriz, yang merupakan presiden Pejuang yang hanya ada empat ahli parlimen di seluruh negara, mempersenda dan memperkecil kekuatan sokongan Anwar Ibrahim yang mempunyai lebih 30 ahli parlimen PKR dan lebih 90 ahli parlimen PH keseluruhannya.

Selemah-lemah Anwar Ibrahim yang dikatakan oleh Mukhriz Mahathir bahawa masanya sudah berlalu, hari ini dia masih menjadi presiden PKR, pengerusi PH dan ketua pembangkang di Parlimen.

Manakala sehebat-hebat Mukhriz anak bangsawan ini dia tidak dapat menyembunyikan fakta sejarah bahawa dua kali dia dijatuhkan sebagai menteri besar Kedah di pertengahan jalan.

Tak pernah Mukhriz Mahathir pegang jawatan MB Kedah dari awal hingga ke akhir macam para menteri besar yang lain.

Penulis bukan suka sangat hendak menulis cerita-cerita seperti ini.Tetapi apabila Mukhriz Mahathir berani bersuara celupar dan kurang adab, maka dia perlu menerima ulasan seperti ini.

Tangan yang berani menghunus keris maka perlu bersedia untuk tertikam dengan senjata sendiri.


HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.