https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sebulan selepas banjir, mangsa di Klang masih tunggu bantuan

 


PETALING JAYA: Mangsa banjir, Loganathan Asaithandy, masih menunggu bantuan kerajaan tiba walaupun sudah hampir sebulan air banjir di Taman Klang Utama yang didiaminya surut.

Hujan yang turun pada 17 Dis lepas lebat dan tidak henti-henti, bermula pada sebelah petang dan berterusan sepanjang malam. Menjelang 2 pagi, air naik di rumah Loganathan mencecah paras lutut.

“Ketika itulah pihak bomba dan penyelamat memberitahu kami supaya beredar, dan kami tiada pilihan selain pergi ke rumah anak saudara saya di Puchong,” kata lelaki berusia 41 tahun itu kepada FMT.

Beliau memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi masih belum mendapat satu sen pun, katanya.

“Satu hari saya dipanggil ke Pejabat Tanah Daerah Klang. Saya diberitahu agar mengambil wang (bantuan) pada pagi Sabtu, tetapi pada masa itu, saya sibuk dan tak dapat hadir.

“Jadi saya pergi pada hari berikutnya dan bertanya sama ada saya masih boleh mendapatkannya, dan mereka berkata, ‘Tidak, sudah terlambat.’

“Mereka memberitahu saya untuk menunggu jemputan lain melalui panggilan atau pesanan teks, tetapi masih belum ada,” katanya.

Beliau layak mendapat RM1,000 daripada kerajaan Selangor dan RM1,000 lagi daripada Putrajaya.

Namun, sekalipun tiba, wang bantuan tersebut mungkin tidak dapat begitu membantu meringankan bebannya.

“Saya anggar kerosakan yang dialami setakat ini (bernilai) kira-kira RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.

Air naik sehingga paras lutut di rumah Loganathan Asaithandy sebelum beliau dan keluarganya dipindahkan.

“Saya kehilangan perabot seperti sofa, almari, meja kopi. Sistem pendawaian mengalami litar pintas, peti ais dan mesin basuh saya rosak. Banyak yang saya rugi.

“RM2,000 itu tidak cukup pun, tetapi sekurang-kurangnya ada. Namun kini, saya hanya tunggu dan tunggu, berharap dapat pesanan untuk datang mendapatkannya.”

Menurut Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Loganathan bukan satu-satunya mangsa yang masih menunggu wang dijanjikan kerajaan.

“Saya dengar ada kelewatan. Segelintirnya boleh difahami kerana permintaan untuk bantuan sangat tinggi. Namun secara umumnya, pejabat tanah cenderung perlahan. Jadi keadaan semasa tidak mengejutkan saya,” katanya.

Menurut kerajaan, sebanyak RM61,000 akan disediakan buat mangsa, tetapi Santiago berkata, kriteria kelayakan mengecualikan ramai yang terjejas.

“Ada yang memberitahu saya mereka diminta bukti seperti gambar ketinggian air di rumah atau gambar barangan rosak,” katanya.

“Apabila air naik, orang tidak ambil gambar. Orang tidak ambil gambar barangan yang musnah sebelum mereka membuangnya. Terdapat keperluan untuk mengkaji semula kriteria ini.”

Dengan kegawatan ekonomi yang dicetuskan wabak masih mengakibatkan penderitaan, mereka yang terjejas dengan banjir menjadi lebih rentan, katanya.

“Orang ramai kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji dan segelintir mungkin sudah kehabisan wang simpanan,” katanya.

“Kumpulan rentan menjadi semakin besar sekarang, dan itu adalah sesuatu yang tidak ditanggapi sewajarnya oleh kerajaan.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.