https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tamparan ‘knockout’ bagi PAS, Bersatu pada PRN Johor, kata pemimpin Umno


JOHOR BAHRU: Bersatu dan PAS akan menghadapi tamparan “knockout” di pilihan raya negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan, menurut Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.

Beliau menjangkakan PKR dan Amanah akan kehilangan sebahagian besar kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) 2018, atau kesemuanya, manakala DAP berkemungkinan akan semakin lemah.

Katanya, berdasarkan sentimen semasa, jelas Bersatu dan PAS tidak diperlukan oleh rakyat Johor dan akan menjadi “sejarah” selepas pilihan raya.

Kebanyakan rakyat Johor menjangkakan Bersatu akan kehilangan kedudukan yang diperolehnya pada 2018.

“Rakyat kini sedar bahawa pemimpin Bersatu sekarang meninggalkan Umno kerana tidak berpuas hati dengan personaliti tertentu atau melarikan diri daripada pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan dua menteri besar daripada Bersatu semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah mendedahkan kekurangan bakat dalam parti itu.

Nur Jazlan berkata, Umno mempunyai isu kepercayaan yang serius dengan PAS kerana ia tidak setia pada masa lalu dan tiada sebarang sumbangan dalam PRN Johor.

“Setahu kita, PAS tidak diperlukan sama sekali di sini. BN sudah bersedia untuk bertanding sendiri dan kita tidak perlu Muafakat Nasional. Saya percaya Bersatu lebih memerlukannya dalam keadaan ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sukar untuk melupakan pusingan U yang dibuat PAS semasa PRN Melaka, mula-mula mengatakan ia akan bekerjasama dengan Umno, kemudian menyokong Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Nur Jazlan berkata, Menteri Besar Hasni Mohammad memimpin negeri itu dengan baik sejak beliau mengambil alih pada 2020 dan adalah seorang tokoh yang disegani dalam kalangan ahli politik dan rakyat.

“Saya percaya masa sudah tiba untuk mandat baharu bagi Hasni,” kata Nur Jazlan.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.