https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Musykil bila Najib seolah tak ada duit, tapi belanja bulanan sampai RM100,000’


Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan Datuk Seri Najib Razak cuba membina persepsi seolah-olah Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai duit susulan perintah mahkamah agar asetnya dibeku sehingga AS$681 juta.

Hanipa menyatakan rasa musykil bagaimana Najib seolah memberitahu beliau tiada wang, tetapi hakikatnya masih menggunakan khidmat peguam diraja yang memerlukan kos mahal.

Menerusi respon Najib di Facebook semalam, bekas perdana menteri itu menafikan mempunyai aset sehingga US$681 juta dan menganggap ianya merupakan permainan persepsi oleh firma guaman peribadi PM8 (yang mewakili kerajaan dalam kes 1MDB) untuk menunjukkan seolah beliau mempunyai aset sebesar itu.

“Untuk berlaku adil, mungkin betul dan mungkin juga tidak. Cuma kami musykil lah YB. Jika YB habaq YB tak ada duit, awat YB kalut nak pi guna khidmat peguam diraja atau Queen’s Counsel (QC)? Khidmat depa percuma ke?

“Rasanya yang ‘legal fees’ peguam dia sekarang pun dah mahal, apa lagi jika dia nak guna khidmat QC kan? Apa kata oleh kerana YB tak ada duit, YB tamatkan je khidmat semua ‘tok loya’ (peguam) kamu?

“Musykil juga orang yang dipersepsi tak berduit tetapi untuk belanja bulanan sahaja dah cecah RM100,000. Wow!,” ujarnya.

Pada semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah menghalang Najib daripada mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga AS$681 juta.

Berdasarkan dokumen perintah yang diperoleh media, bekas perdana menteri itu turut tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaun bank untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Dokumen itu turut menyatakan, jika defendan pertama (Najib) memerlukan lebih RM100,000 sebulan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Global Diversified Investment Company Limited yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima.

Najib kemudiannya menjawab di Facebook, beliau tiada aset berjumlah US$681 juta dan hairan mengapa 1MDB meminta beliau membayar pampasan sebanyak RM2.6 bilion, sedangkan beliau tiada wang pun untuk membayar tuntutan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM1.7 bilion

Sementara itu, Hanipa memberitahu, dalam sebarang permohonan injunksi, menjadi satu amalan prosedur biasa apabila plaintif yang memohon dari mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi, perlu memberi aku janji di dalam afidavit tersebut.

Justeru katanya, ketika 1MDB memohon mahkamah mengehadkan pengeluaran wang Najib, adalah perkara biasa untuk plaintif (1MDB) memberi jaminan kepada pesuruhjaya kehakiman bahawa mereka akan membayar sebarang ganti-rugi kepada defendan sekiranya plaintif itu kalah saman sivil.

“Itu bukan suatu yang luar biasa YB. Itu kehendak undang-undang lah,” katanya yang menjawab pertanyaan Najib sama ada jaminan bayar ganti rugi yang dinyatakan 1MDB itu telah diluluskan Kabinet atau belum.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.