https://critoxium.com/shop/

Terkini

Oh ini rupanya politik matang

 


Oleh Mohsin Abdullah

Ahmad Maslan, setiausaha agung Umno pun satu hal. Ada ke patut sarankan PAS “bubar sahaja lah” kerana Umno sudah pun membawa wadah perjuangan Islam dan bukan sekadar mendokong perjuangan kebangsaan Melayu. Melentinglah PAS.

Ada artikel baru-baru ini siaran Harakahdaily, organ rasmi PAS, mengibaratkan Umno bagai golongan “baharu mengenal Islam” yang sebelum ini “tidak amalkan Islam tetapi tiba-tiba menjadi lebih alim daripada golongan yang sudah lama beramal dengan Islam yang benar”.

Satu rujukan yang keras dan pedas terhadap kenyataan Ahmad Maslan yang menjustifikasikan cadangannya agar PAS dibubarkan dengan berkata Umno sudah pinda perlembagaan parti pada 2019 yang meletak “agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama”.

Tidak tahu sama ada penulis artikel itu pemimpin atau ahli PAS. Yang pasti beliau penyokong parti. Saya tidak bercadang menghurai penulisannya secara keseluruhan. Cukup untuk menyifatkan serangannya mewakili reaksi marah PAS sebagai sebuah parti.

Ini reaksi Ahmad Yahaya yang sememangnya orang PAS, malah pemimpin parti selaku ketua Dewan Ulama. Sambil “menzahirkan rasa syukur” atas perubahan yang dibuat Umno pada 2019 – merujuk peruntukan Fasal 3.1 perlembangaan Umno – beliau mengingatkan bahawa itu “selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS sejak penubuhannya pada 1951”.

Kata beliau, Fasal 3,5,6, dan 7 perlembagaan PAS (pindaan 2020) “terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Fasal 3.1 perlembagaan Umno”.

Bukan itu sahaja, kerana menurut Ahmad Yahaya, Dewan Ulamak PAS Pusat “bersedia untuk membantu Umno bagi memastikan perubahan yang dibuat bukan sekadar di atas kertas dan Umno benar-benar jujur untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS”.

Jelas lagi nyata. Kata-kata yang boleh diterjemah sebagai “kami lebih Islamik, kami lebih lama Islamik”. Soal siapa lebih Islamik timbul. Kita doakan jangan serangan “kafir-mengkafir” tahun 1980-an berulang.

Sebenarnya sejak kegagalan Muafakat Nasional, serang-menyerang Umno-PAS rancak. Tuduh-menuduh yang pedih lagi panas.

Tanpa memihak, saya lihat Umno sekurang-kurangnya ‘konsisten’ menyerang PAS di samping lantang berkata MN sudah “ditalkinkan” dan sebagainya. Cadangan Ahmad Maslan supaya PAS bubarkan ialah antara serangan Umno yang dimaksudkan. Sekurang-kurangnya Umno tidak kejap kawan kejap lawan.

Yang peliknya PAS. Dalam pada membidas dan mengkritik keras Umno, parti itu bertegas mendakwa ia mahu MN terus kukuh. Seolah-olah dengan berbuat demikian, tiada ada apa yang berlaku antara mereka dengan Umno. Macam “business as usual” walhal “it is not”. Banyak sudah kenyataan pemimpin PAS termasuk presidennya, Abdul Hadi Awang, bernada sedemikian.

Contoh terbaharu Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri, pada 16 Mei lalu berkata partinya akan “terus mempertahankan hubungan bersama Umno kerana agenda penyatuan ummah menjadi tunjang MN lebih besar berbanding survival mana-mana parti politik”.

Menurut beliau, “kita (PAS) melakukan perbincangan bersama Umno demi memastikan kerjasama terjalin antara dua parti terus utuh walaupun ada sesetengah pemimpin menyifatkan MN sudah berkubur”.

Ahmad Samsuri kita tahu ialah menteri besar Terengganu dan di negeri itu jugalah pada hari yang sama iaitu 16 Mei diberitakan “PAS melalui perbincangan pengagihan kerusi sudah bersetuju menyerahkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dikuasai BN (baca Umno) kepada Bersatu untuk meletakkan calon pada PRU15”.

Ertinya restu PAS. Demikian diumumkan Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris, kepada media.

Keesokan hari – 17 Mei 2022 – Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, memberitahu beliau dimaklumkan oleh presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, bahawa PAS akan terus beristiqamah dengan Perikatan Nasional.

Bahtera PN kita tahu nakhodanya Bersatu walaupun PAS lebih besar daripadanya. Oleh kerana PAS mahu Bersatu duduk bersama dalam MN lah, permuafakatan itu gagal kerana Umno tidak menerima Bersatu – parti yang Umno anggap telah menikamnya dari belakang.

Ketika itu PAS dilihat bermain dua kolam. Bermain dengan Umno duduk dalam MN dan berbaik dengan Bersatu duduk dalam PN. Kita tentu tidak lupa pada PRN Melaka dan Johor, PAS bersekutu dengan Bersatu menentang Umno. Bagaimanapun dua parti itu kalah teruk manakala Umno menang bergaya.

Dalam keadaan sekarang, PAS ‘ligat’ memberi gambaran ia mahu berbaik-baik dengan Umno demi perpaduan ummah dan kelangsungan MN, tetapi tetap menyerang Umno dan bermesra dengan Bersatu, musuh Umno. Sebelah tangan berjabat, sebelah tangan menikam?

Hadi gemar bercakap mengenai apa yang beliau sifatkan “budaya politik matang dan sejahtera”. Kata beliau, “PAS telah berjaya melaksanakan politik matang sejak dahulu sehingga sekarang”. Tetapi imbau laporan media Mac lalu di mana bekas pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali, dipetik berkata “budaya politik matang dan sejahtera itu sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan susulan serangan bertali arus oleh kepimpinan tertinggi PAS dan PN terhadap Umno dan BN”.

Apa sebenarnya “politik matang”?

Pada hemat saya (yang bukan pakar politik dan bukan pemegang ijazah sains politik) budaya politik matang ialah amalan ketika mana parti politik dan politikus meraikan perbezaan, tidak meniup sentimen perkauman, tidak menimbul isu remeh dan kebudak-budakan. Tidak berperangai bagai budak nakal apa lagi perangai jahat semata-mata untuk menang pilihan raya dan demi kelangsungan politik mereka.

Kata ahli akademik, Mujibu Abd Muis, menerusi artikelnya pada Oktober 2019, dengan meraikan perbezaan, politik dan pentadbiran sesebuah negara akan sentiasa berfungsi dan bekerja dengan baik atas kesejahteraan rakyat.

Perkara itu, kata beliau, sering membawa kepada pembudayaan politik matang dan budiman dan “sebab itu politik sepatutnya membawa kepada kematangan dan kesejahteraan dan bukan sebaliknya”.

Presiden PAS seperti dikatakan tadi juga gemar bercakap mengenai “budaya politik matang dan sejahtera”. PAS mahu berbaik-baik dengan Umno dan Bersatu sekali gus. Adakah itu boleh dianggap “kematangan dan kesejahteraan”? Boleh, tetapi mahu berbaik dengan Umno dan pada masa sama menyerang Umno “kaw kaw” termasuk mahu mengajarnya tentang Islam, saya kira tidak termasuk dalam ciri budaya matang dan sejahtera.

Begitu juga berenang dua kolam, mahu makan dua-dua belah, makan keliling.

Mungkin ada orang kata itu strategi realistik untuk menang. Saya kata itu strategi kotor. Mungkin ada orang kata politik itu sendiri kotor. Saya kata politik tidak kotor. Orang yang bikin ia kotor. Apa pun, ia tentunya bukan politik matang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.