https://critoxium.com/shop/

Terkini

Cukup-cukuplah ‘main angka’, adakan saja PRU15, kata penganalisis

 


PETALING JAYA: Desas-desus mengenai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin cuba membuat kemunculan semula mendorong seorang penganalisis politik mencadangkan supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat bagi menamatkan keadaan yang dilihatnya sebagai ketidakstabilan politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, spekulasi mengenai satu lagi perubahan kerajaan akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi Malaysia dan merupakan sebabnya penting untuk terus menentukan pihak yang mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata, spekulasi dan permainan politik itu turut menjejaskan keupayaan Ismail Sabri Yaakob menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri.

“Beliau tidak mampu mentadbir negara kerana terpaksa mengendalikan Bersatu, PAS dan juga ahli partinya sendiri, Umno,” katanya kepada FMT.

Minggu lepas, laporan berita memetik Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, Muhyiddin menghubunginya dua bulan lepas dan meminta sokongan dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri semula.

Menurut laporan itu, Shafie berkata, Muhyiddin memberitahunya beliau mendapat sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

Tokoh politik utama negara semuanya mendakwa “mempunyai angka” sokongan sepanjang tempoh tiga setengah tahun lalu.

Susulan Langkah Sheraton, calon yang disebut-sebut bagi jawatan perdana menteri berebut-rebut mendapatkan sokongan yang mencukupi.

Ogos lepas, Muhyiddin enggan meletak jawatan sebagai perdana menteri dengan berkata, beliau masih mendapat sokongan majoriti dan akan membuktikannya di Parlimen pada September. Bagaimanapun, beliau meletak jawatan tidak sampai dua minggu kemudian.

Pada September 2020, pemimpin PKR Anwar Ibrahim berkata, beliau mendapat sokongan kebanyakan ahli Parlimen. Bagaimanapun, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, beliau dilaporkan gagal mengemukakan senarai nama tersebut bagi menyokong dakwaannya.

Pada awal 2020, ketika Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri sementara, beliau mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk kembali sebagai perdana menteri buat kali ketiga. Ini sebelum Muhyiddin akhirnya dinamakan sebagai perdana menteri kelapan.

Azmi berkata, rakyat tidak seharusnya melayan keadaan yang disebutnya sebagai “permainan angka”.

Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, situasi politik sekarang “sangat huru-hara dan bergolak” sehinggakan seorang atau lebih pemimpin kanan daripada kedua-dua belah belah politik mungkin pada bila-bila masa mendapat sokongan majoriti Parlimen.

Bagaimanapun katanya, ada yang mungkin beralih kesetiaan politik dengan pantas memandangkan ramai wakil rakyat mengutamakan kepentingan politik mereka berbanding negara.

“Ramai yang tidak melihat perdana menteri sekarang, yang tidak mampu mendapat sokongan sepenuh hati partinya sendiri, sebagai berkeupayaan,” kata Oh.

Beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah dengan mempunyai kerajaan yang berkebolehan, tetapi tiada jaminan mana-mana parti akan mendapat majoriti yang jelas walaupun pilihan raya diadakan sekarang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.