Jawatan ketua bahagian PN tiada makna bagi PAS, kata penganalisis
PETALING JAYA: Pelantikan beberapa pemimpin PAS di Kelantan sebagai ketua bahagian Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak bermakna kepada parti itu.
Penganalisis Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, jawatan PN tersebut tiada gunanya berbanding jawatan ketua kawasan PAS, yang mendapat sokongan ahli parti, memberi mereka pengaruh.
“(Jawatan) ketua bahagian PN sekadar nama,” katanya
Azmi berkata, walaupun ketua bahagian PN mempunyai kawalan ke atas jentera pilihan raya gabungan itu, PAS sudah mempunyai organisasi yang unggul.
“Kita telah melihat dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor
bahawa jentera pilihan raya Bersatu bukanlah sesuatu yang boleh
dibanggakan, berbanding PAS atau Barisan Nasional (BN),” katanya.
Pada Ahad, PN mengumumkan pelantikan 13 ketua bahagian di Kelantan, dengan sembilan terdiri daripada ahli PAS. Antara individu penting termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan sebagai ketua PN Kota Bharu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, mengetuai PN Pengkalan Chepa.
Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dinamakan sebagai ketua PN Kuala Krai, manakala tiga Exco – Saripudin Tuan Ismail, Fadzli Hassan dan Hanifa Ahmad – masing-masing mengetuai bahagian Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas.
Azmi dan Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada Universiti Sains Malaysia berkata, pelantikan itu tidak akan dapat memujuk PAS menggunakan lambang PN pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Azmi berkata, keputusan PRN Melaka dan Johor sudah cukup menjadi alasan untuk PAS bertanding bawah panjinya sendiri.
Katanya, menukar “jenama” di tengah jalan boleh membawa padah.
“Jadi, saya rasa PAS mungkin mahu berpegang kepada strategi yang terbukti (berkesan), iaitu terus menggunakan lambang mereka sendiri.”
Beliau membuat spekulasi bahawa PAS mungkin kehilangan undi jika mereka bertukar kepada lambang PN, memandangkan PRU15 akan menjadi kali pertama PN bertanding di Kelantan dan Terengganu menggunakan lambangnya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.