Kaji semula hadiah, insentif APC penjawat awam sesuai cabaran dihadapi
Majoriti penjawat awam menerima berita pengumuman calon Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 bagi jabatan atau bahagian masing-masing.
Ini merujuk kepada pemberian anugerah perkhidmatan cemerlang kepada mereka yang disahkan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) jabatan atau bahagian dengan merujuk kepada markah prestasi 2021.
Sejak pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002, penerima APC menerima sijil, wang tunai berjumlah RM1,000 dan diberi keutamaan untuk hadir ke kursus atau program latihan pada tahun berikutnya serta gambar penerima anugerah dipamerkan di suatu sudut dalam jabatan/bahagian.
Hari ini penggunaan laman web jabatan/bahagian dan media sosial memudahkan urusan mempamerkan gambar penerima anugerah sebagai tatapan dan menjadi ikon jabatan atau bahagian.
Ironinya, pelbagai stigma dan cerita termasuk konotasi kurang baik sering dikaitkan dengan penerima APC. Walaupun ramai menganggap APC suatu anugerah atas dasar giliran, tidak kurang juga mempertikaikan pemilihan penerima APC.
Penerima APC dikatakan dipilih berdasarkan kronisme dan nepotisme atau kegemaran sesetengah ketua jabatan, sedangkan ada kakitangan lain mendapat markah lebih tinggi pada tahun berkenaan.
Ambil kira beban kewangan kerajaan
Saban tahun inilah persoalan menjadi topik perbincangan dalam kalangan penjawat awam dan mengapa ia menjadi topik hangat untuk diperkatakan sehingga menimbulkan fitnah.
Sewajarnya perkhidmatan awam berkembang mengikut peredaran zaman seperti dalam perkara membabitkan pengurusan sumber manusia sektor awam.
Wang hadiah RM1,000 pada 2022 sangat berbeza nilainya jika dibandingkan dengan nilai wang itu ketika pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.
Mengambil kira beban kewangan kerajaan hari ini, sudah sampai masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula nilai hadiah wang tunai untuk penerima APC ke suatu nilai munasabah.
Insentif dan faedah selain dalam bentuk tunai kepada penerima APC juga wajar dipertimbangkan. Perkara ini penting bagi meletakkan penerima APC di tempat yang betul sesuai dengan cabaran dan kritikan diterima.
Sementara itu, Julai adalah bulan penting kepada penjawat awam di Malaysia kerana semakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) perlu dilakukan oleh pegawai yang dinilai bersama pegawai penilai pertama.
Ini proses penting dalam perjalanan penilaian prestasi sektor awam. Seharusnya ruang ini dimanfaatkan untuk menyusun semula strategi jabatan atau bahagian dan memastikan sasaran atau petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan mampu dicapai pada akhir hujung tahun.
Ini yang perlu menjadi keutamaan kepada bakal penerima APC tahun hadapan supaya apabila menerima anugerah nanti, mereka dikatakan layak dan tidak menjadi sebahagian daripada mereka yang diumpat dan dikeji.
Dalam pada itu, ketua jabatan dan mereka yang bertanggungjawab sebagai ahli Panel Penilaian Sumber Manusia harus memilih mereka yang benar-benar cemerlang dan kompeten untuk dicalonkan menerima APC dan bukan dipilih atas dasar favoritism'.
Lebih penting lagi, penilaian calon APC bukan dibuat atas faktor giliran mengikut jawatan atau bahagian tertentu, sebaliknya adalah mereka yang benar-benar cemerlang pada tahun penilaian dan layak diangkat sebagai ikon jabatan atau bahagian.
Dalam soal pemilihan calon untuk menerima APC, mungkin ada ketua jabatan masih terikut-ikut dengan kriteria ditetapkan melalui sistem lapuk iaitu Sistem Saraan Baru (SSB) yang dilaksanakan sebelum 2002.
Hakikatnya, perkhidmatan awam kini mungkin berada pada penghujung era SSM kerana sektor ini bergerak berperingkat ke arah pengurusan bakat berasaskan kompetensi.
Bayangan SSB dengan menawarkan insentif gaji 'menegak', 'melintang' dan sebagainya perlu ditinggalkan, sebaliknya garis panduan sedia ada sepatutnya dapat menambah baik perkhidmatan awam di negara ini bagi menjamin perkhidmatan yang cekap, pantas dan dipercayai.
Mohd Rafizi adalah Timbalan Pendaftar Kanan Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD), Universiti Teknologi MARA (UiTM) manakala Sheema Liza Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.