https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemimpin dengan pembodek

Kata Rafizi Ramli, PKR tidak perlu pembodek yang membodek Presidennya, Anwar Ibrahim. Tapi pembodek ada di mana-mana. Di pejabat, dalam persatuan, dalam kerajaan. Macam-macam organisasi dan pertubuhan, terutama parti politik. Dalam konteks artikel ini, yang mahu dibicara ialah pembodek dalam parti politik.

Lagi besar parti politik, lagi ramai pembodek. Lagi berkuasa pemimpinnya, lagi ramai pembodek menghurung. Semua mahu “angkat” bos. Bukan Anwar seorang sahaja yang ada pembodek seperti yang “dibimbangi” Rafizi.

Dalam Umno misalnya, golongan itu wujud sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Tidak memeranjatkan kerana presiden Umno untuk sekian lama (sehingga 2018) adalah perdana menteri. Oleh itu, presiden Umno selepas Tunku ada “their share of” pembodek. Baik Razak Hussein, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, dan Najib Razak.

Mengapa? Sebab mereka memerintah. Sekarang pun ada, walaupun kerajaan ini bukan kerajaan Umno secara “total”.

Pembodek kerjanya membodek. Itu sekadar menyatakan apa yang nyata. Tidak perlu dihurai kerana semua tahu apa itu membodek. Mereka digelar juga kaki ampu, kaki kipas, kaki jilat, kaki angkat, dan banyak lagi gelaran.

Teringat cerita Megat Junid Megat Ayob, orang kuat Umno yang lama berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri dalam Kabinet Mahathir era Barisan Nasional (BN).

Menurut ceritanya, satu ketika Allahyarham sedang bercakap dengan sekumpulan penyokong Umno lalu berkata, “Saya cadang nak buat…”. Belum sempat habis cakap, seorang penyokong dengan pantas berteriak “setuju, setuju”.

“Hei, kamu tak tahu apa yang nak aku buat, kamu dah setuju?” kata Megat Junid. Jawab si penyokong, “tak payah tunggu YB habis cakap, saya tahu cadangan YB mesti bagus seperti biasa, macam cadangan-cadangan sebelum ini. Sebab itu sayu terus sokong dan setuju”.

Penyokong seperti itu dinamakan “pembodek tahap dewa”.

Berbalik saranan Rafizi. Menurutnya, apa yang penting adalah parti dan kepimpinan baharu (yang dianggotainya untuk sesi 2022-2025) tidak terlalu berusaha membodek Anwar atau pertahankannya. Anwar kata beliau ialah Anwar yang tidak perlu dipertahankan.

“Masalah timbul apabila terdapat kelompok di sekeliling Anwar yang sering merasakan mereka perlu membelanya sehingga tidak boleh ada fakta yang dilihat menyentuh presiden parti,” kata timbalan presiden PKR itu.

(Perkara yang sama juga berlaku dalam kalangan penyokong S Samy Vellu semasa beliau menjadi presiden MIC. Apatah lagi Mahathir semasa memimpin BN dulu. Juga ketika Najib menjadi perdana menteri sehingga BN jatuh selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018. Begitu juga apabila Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan tentunya Ismail Sabri Yaakob sekarang)

Respons Saifuddin Nasution Ismail yang tewas di tangan Rafizi dalam perebutan jawatan timbalan presiden tempoh hari begini – hormat dan taat kepada pemimpin parti, kata beliau merupakan satu kewajipan. Taat sifat dipuji, ia bukan membodek katanya.

Teringat pula kepada Mohamad Rahmat, bekas setiausaha agung Umno-BN yang taat kepada Mahathir. Ada yang kata “terlalu taat” sehingga dilempar pelbagai tuduhan dan gelaran yang tidak mahu saya ulang di sini.

Apa pun Allahyarham pernah berkata, walaupun diejek dan dipersenda “aku tetap setia”. Lalu digelar Allahyarham “Hang Setia”. Ada yang melihat gelaran itu satu penghormatan. Ada yang merujuk dengan sinis dan perli.

Berbalik kepada Saifuddin. “Orang Islam dalam solat berjemaah ada imam. Kita ikut…sekali kita tak ikut imam, solat kita terbatal. Kalau imam tak betul, kita boleh tegur dalam solat. Ada cara tegur imam.”

Hakikatnya, ada yang membodek (didorong agenda peribadi) dan ada yang menegur (dengan ikhlas). Terpulang kepada pemimpin menilai mana kaca, mana permata. Mana Sang Bodek mana Hang Setia.

Tersalah pilih padah. Jika pembodek diberi kepercayaan dan kata-kata mereka ditelan bulat-bulat, sokongan yang golongan itu beri akan membawa rebah. Jika salah anggapan – melihat Hang Setia sebagai pembodek, maka akan hilanglah sokongan orang yang benar-benar setia, taat, dan ikhlas. Hang Setia yang dituduh pembodek akan membawa diri. Ada akan terus hilang menyepi. Ada yang berpaling tadah, berganding bahu dengan musuh, kembali melawan dengan dendam kesumat.

Diakui bukan senang pemimpin mahu membuat pilihan tepat dan betul. Namun, itulah yang mereka mesti laksanakan selaku pemimpin yang biasanya dikaitkan dengan kebijaksanaan dan kematangan. Tetapi, tidak dinafikan juga ada pemimpin yang pada awalnya tidak gemar dengan pembodek, mampu mengesan muslihat serta pembodekan dan tidak boleh dibodek. Pada awalnya, saya ulang.

Namun, perlu diingat si pembodek tidak mudah patah semangat. Mereka terus membodek dan membodek. Sayangnya, si pemimpin lama-kelamaan naik sedap, termakan kata-kata manis dan pujian yang dicurahkan. Lantas leka dibuai mimpi indah, lupa bahawa mimpi walau bagaimana indah sekali pun, tetap mimpi, bukan realiti.

Dan kita tahu akibatnya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.