https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anthony Loke sukar digugat di Seremban?


 SEREMBAN: Apakah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sangat sukar dikalahkan di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Ia sehinggakan Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Negeri Sembilan, Datuk Chong Vee Hing mengakui, mana-mana parti sekali pun tidak berupaya memenangi kerusi tersebut sekiranya masih ditandingi oleh Siew Fook.

Menurut Vee Hing, dapatan itu hasil penelitian dan analisis yang dijalankan pihaknya sebelum ini di kerusi berkenaan.

Ads by Kiosked

“Hasil penelitian, semakan dan analisis, kami lihat (kerusi) Seremban memang kritikal. Jika Anthony Loke (Siew Fook) masih di sana, tiada peluang untuk mana-mana parti, walaupun Barisan Nasional (BN),” katanya pada Persidangan Perwakilan Negeri Ke-47 Wanita dan Pemuda Ke-35 Gerakan Negeri Sembilan di sini, kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Siew Fook memenangi kerusi tersebut dengan selesa apabila mendapat majoriti undi sebanyak 30,694, menewaskan calon BN, Datuk Chong Sin Woon yang memperoleh 24,809 undi dan calon Pas, Shariffuddin Ahmad dengan 11,506,

Mengambil penelitian tersebut, Vee Hing berkata, Gerakan yang bakal bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) memilih bertanding di satu lagi kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Rasah yang dilihat lebih mempunyai peluang untuk dirampas daripada DAP.

“Bulan lepas ada perbincangan awal dijalankan di peringkat PN Negeri Sembilan. Formula agihan untuk kerusi Parlimen adalah 4-3-1, ada lapan Parlimen dan kami setuju namun mana kerusi tersebut belum dipastikan.

“Tetapi, Gerakan berhasrat bertanding di Parlimen Rasah kerana kami ada sokongan akar umbi terutama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya dan Bukit Kepayang.

“Kami akan fokus kepada Rasah, berbanding Seremban, Rasah kami rasa lebih yakin sedikit,” kata beliau lagi sambil memberitahu keputusan akhir di mana kerusi ditandingi itu akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN di peringkat Pusat.

Ads by Kiosked

Sementara itu, dalam PRU15, Gerakan turut dijangka mencuba nasib di tujuh buah kerusi DUN di Negeri Sembilan iaitu Temiang, Bahau, Bukit Kepayang, Rahang, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang memberitahu, kesemua kerusi berkenaan merupakan kerusi yang akan diberikan lebih tumpuan berdasarkan terdapat peluang untuk memenanginya.

Pada PRU-14, semasa berada di dalam BN, Gerakan tewas di kesemua kerusi yang ditandinginya iaitu kerusi DUN Bukit Kepayang dan Seremban Jaya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.