Siapa ‘ayam sabung’ BN di Pulai?
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
DATUK Nur Jazlan Mohamed sudah awal-awal lagi mengumumkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengumuman Ketua UMNO Bahagian Pulai itu sekali gus menimbulkan teka-teki siapa yang bakal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merampas semula kerusi berkenaan daripada Datuk Seri Salahuddin Ayub yang bernaung dalam Pakatan Harapan (PH).
Nyata tugas merampas semula kerusi yang sebelum ini dimenangi UMNO bukan mudah, apatah lagi bakal berdepan saingan Timbalan Presiden Amanah itu.
Berdasarkan keputusan PRU14, kekalahan dengan majoriti besar, iaitu 28,924 undi UMNO/BN di kerusi tersebut menjadi cerminan calon dan parti berkenaan ‘ditolak’ pengundi di situ pada gelombang yang turut menumbangkan kerajaan BN di Johor.
Menyedari sukar menang serta ingin memberi laluan kepada calon muka baharu, Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor sudah mengibarkan ‘bendera putih’ dan mempelawa pemimpin UMNO lain yang ingin mencuba nasib di kerusi tersebut.
Persoalannya, siapa yang akan dipertaruhkan untuk membawa misi besar tersebut apatah lagi BN Johor sudah diberi sasaran supaya memenangi 20 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor?
Jika bukan Nur Jazlan, adakah Timbalannya atau ada calon lain?
Timbalan beliau, Datuk Ramlee Bohani turut ‘terkeluar’ daripada senarai kerana tidak mungkin dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu. Malah, beliau turut dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sebelum ini disebut-sebut juga nama Ketua Pemuda Bahagian, Datuk Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous Sheikh A. Rahman, seorang pemimpin muda yang boleh diketengahkan oleh BN bagi menggalas tugas besar merampas semula kerusi tersebut.
Dua ketua sayap lain, iaitu Ketua Wanita, Rokiah Hassan dan Ketua Puteri, Nor Akmal Muhammad juga boleh disenaraikan. Jika formula inginkan muka baharu dan muda, pasti nama Sheikh Ahmad Nafiq dan Nor Akmalbboleh dijadikan sandaran. Namun, mampukah mereka memberi saingan kepada Salahuddin, sekali gus memenangi kerusi berkenaan?
Tidak berkisar dalam kalangan pemimpin UMNO Bahagian Pulai, nama petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron turut disebut-sebut semula untuk dicalonkan bertanding mewakili BN di Parlimen Pulai pada PRU15.
Difahamkan, pada PRN Johor, Mac lalu, nama Muhammad Farkhan turut disenaraikan sebagai salah seorang calon untuk bertanding di DUN Kempas, namun akhirnya diberikan kepada Ramlee.
Andai Farkhan dipilih sebagai ‘ayam sabung’ BN, pertarungan kerusi Parlimen Pulai pasti sengit dan peluang untuk BN merampas semula kerusi tersebut terbuka.
Bukan sahaja calon baharu dan muda, malah petinju tersebut yang baru-baru dilantik sebagai salah seorang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sudah dikenali dan mempunyai ramai pengikut, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Apa yang diperlukan adalah memperkenalkan lagi beliau, khususnya kepada kaum Cina dan India serta disulami dengan aspirasi dan perjuangan yang lebih jelas.
Pencalonan tersebut juga pastinya bukan berita baik bagi penyandang, Salahuddin kerana bakal bertarung di “gelanggang tinju’ yang lebih hebat.
Namun, siapa lebih hebat dan menjadi pilihan, hanya pengundi Parlimen Pulai yang mampu menjawabnya dalam kertas undi pada PRU15.
Yang pasti, pertandingan di kerusi Parlimen Pulai bakal menjadi tumpuan ramai.
KEPUTUSAN PRU14 PARLIMEN PULAI:
1. Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH) – 55,447 undi
2. Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) – 26,524 undi
3. Dr. Mohd. Mazri Yahya (Pas) – 4,332 undi
5. Yap Keng Tak (Bebas) – 591 undi
Majoriti: 28,924 undi
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.