https://critoxium.com/shop/

Terkini

Cukup-cukuplah, tunggu saja PRU15

Oleh Aqilah Mior Kamarulbaid

 SEHINGGA saat artikel ini ditulis, media sosial masih lagi heboh mengatakan tentang hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

Kelmarin, (23 Ogos), panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap Najib selepas perbicaraan kes yang keseluruhannya berlangsung lebih empat tahun, termasuk prosidingnya dijalankan secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Ada yang gembira bertepuk tangan, ada yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah sehingga mewujudkan perbalahan dalam kalangan rakyat sehingga media sosial menjadi ‘panas.’ Tidak kurang juga perbincangan antara rakan dan ahli keluarga. Masing-masing berhujah panjang lebar termasuk tiada campur tangan kerajaan dalam kes Najib ini sepertimana diberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ada yang membandingkan dengan kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. Ada yang memetik, ‘hukuman ke atas Najib adil tetapi hukuman kepada Anwar tidak adil sehingga pemimpin blok pembangkang dan penyokong setianya turun ke jalanan menyatakan protes terhadap institusi kehakiman dan kerajaan ketika itu.’

Apa pun, keputusan sudah dibuat dan semua pihak sepatutnya menerima dengan hati terbuka dan bagi mereka yang ‘membenci’ bekas Perdana Menteri itu, cukup-cukuplah menabur dan menyebarkan api kebencian dalam media sosial. Jangan salah gunakan kebebasan bersuara di platform itu untuk menambah dosa dan menghasut rakyat.

Hari ini hari beliau, hari kita belum tahu lagi. Najib telah pun melalui proses hukuman. Usah terus menjatuhi hukum sebaliknya rakyat wajar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti bagi menyuarakan kemahuan melalui peti undi. Jelas, suara rakyat itu kuat. Lihat sahaja apa yang berlaku pada PRU14. Rakyat bersuara sehingga tumbang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah mentadbir negara lebih enam dekad.

Gunakan masa ini (PRU15) untuk mengundi parti politik pilihan bagi mentadbir negara. Kalau dirasakan BN mampu mengembalikan kegemilangan negara, undilah BN. Jika percaya Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi sebuah kerajaan yang telus dan adil, pilihlah PH. Dan kalau yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menjadi kerajaan Melayu dan Islam sejati tanpa meminggirkan kaum-kaum lain, pangkahlah PN pada kertas undi nanti.

Namun, sehingga menunggu saat itu, rakyat mahupun pemimpin politik harus bersatu dengan memberi fokus untuk memulihkan ekonomi negara yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Ekonomi dan kestabilan negara hanya boleh dicapai dengan penyatuan rakyat dan pemimpin negara.

POLEMIK

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr. Ismail Sualman memberitahu, banyak masalah timbul apabila wujud beberapa perkara tidak elok yang menjadi pertikaian seperti soal keadilan diperdebatkan di media sosial. Malah tidak kurang perkara-perkara bersifat personal, ada juga yang tidak menghormati keputusan mahkamah. Ini semua cerminan budaya tidak sihat yang ditonjolkan rakyat dan pemimpin pembangkang.

Jadi, beliau meminta rakyat segera menghentikan budaya tersebut kerana ia hanya akan menyebabkan polemik politik yang berterusan sedangkan kita semua mengetahui Najib masih mempunyai tempoh 14 hari bermula kelmarin untuk memohon pengampunan diraja.

“Kita takut banyak unsur begini akan menyebabkan persoalan keadilan mahkamah menjadi isu besar dan kekangan kepada pentadbiran kerajaan. Kita faham penyokong mempunyai sentimen, mengenang jasa terhadap bantuan dan pengorbanan Najib. Namun, keputusan telah dibuat melalui proses mahkamah.

“Oleh itu, saya fikir rakyat sepatutnya bertenang dan reda terhadap ketentuan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Ismail juga membaca di media sosial tentang banyak perkara tular yang tidak enak dan hal-hal ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan rakyat mahupun pemimpin akan terus terperangkap dalam politiking sedangkan banyak lagi perkara perlu dilakukan bagi memastikan negara kembali bangkit kembali dalam segala aspek.

“Sampai bila mereka mahu berpolitiking, tak tahulah tetapi jika ini berterusan akan menyebabkan kerajaan tidak boleh bergerak sebaliknya hanya mengurus persepsi liar yang boleh menjejaskan pentadbiran negara,” ujarnya.

Rakyat perlu bangun daripada lena yang panjang dan sedar bahawa Ismail Sabri sudah menyusun banyak agenda khas untuk rakyat yang perlu dilunaskan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Peluang perlu diberikan kepada Ismail Sabri untuk membuktikan kemampuannya mentadbir negara.

Rakyat patut memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara, kestabilan politik, mensejahterakan rakyat, Keluarga Malaysia dan sebagainya. Ini semua juga agenda rakyat, lebih-lebih lagi menjelang sambutan kemerdekaan negara.

Kita patut teguh bersama kerajaan untuk terus melaksanakan segala agenda demi kepentingan rakyat. – 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.