Dua gerakan mahu tumbangkan Pas Kelantan
Oleh YATIMIN ABDULLAH
MUTAKHIR ini bertebaran di laman-laman sosial Facebook mengenai kewujudan satu gelombang yang dinamakan sebagai ‘Kelantan Baharu’ bertujuan menukar tampuk kepemimpinan kerajaan negeri daripada Pas.
Menariknya, gerakan ini dipelopori bekas-bekas pemimpin tertinggi Pas yang menjadi kunci kepada kemenangan parti itu merampas Kelantan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990.
Namun kali ini mereka bersama dengan Parti Amanah Negara (Amanah). Gerakan itu memulakan langkah awal dengan melancarkan logo bagi memberi kesedaran dan mengajak rakyat negeri ini untuk membuat perubahan berani dengan menukar pentadbiran Pas kepada gabungan baharu selepas 32 tahun gagal membela nasib rakyat walaupun diberikan mandat.
Selain gerakan Kelantan Baharu, Pas turut berdepan cabaran daripada Pertubuhan Save Kelantan di bawah pimpinan bekas ‘orang dalam’ kerajaan negeri iaitu Datuk Husam Musa yang ‘ligat’ membongkar kegagalan pentadbiran menerusi fakta-fakta jelas tanpa sebarang andaian.
Tindakan Save Kelantan itu dilihat mulai berjaya mengubah paradigma anak muda khususnya pengundi luar yang merupakan ‘deposit’ tetap kepada Pas sebelum ini.
Gerakan
Sungguhpun begitu, gerakan Kelantan Baharu atau Save Kelantan perlu mempunyai kerangka kukuh jika mahu mengubah mentaliti rakyat Kelantan untuk bangkit menukar kerajaan negeri.
Jika gagal berbuat demikian, berkemungkinan besar mereka hanya mampu memasang ‘angan-angan’ kerana mentaliti rakyat Kelantan yang sudah sebati dengan Pas sukar diubah walaupun jelas terpampang kepincangan di depan mata.
Secara umumnya, gerakan menukar tampuk pemerintah Pas bukan perkara baharu, sebaliknya sudah bermula sejak parti itu menerajui pentadbiran pada tahun 1990.
Angin perubahan menukar pentadbiran negeri ini bertiup secara kencang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) apabila Pergerakan Pemuda UMNO melancarkan gerakan ‘Pade Doh! 18 Tahun.. Ambo nok tuka…’
Selepas itu UMNO tampil dengan skala besar dalam usaha menawan negeri ini menerusi gerakan digelar ‘Gelombang Merah’.
Bagaimanapun, usaha itu buntu apabila parti tersebut terus ditolak rakyat Kelantan sekali gus menyaksikan mereka ‘setia’ mempertahan Pas.
Melihat situasi itu, mana-mana kumpulan baik Pakatan Harapan, Save Kelantan atau BN perlu membentuk gabungan rentas politik lebih fleksibel jika serius mahu menumbangkan Pas.
Jika tiada ‘gabungan’ yang konkrit, Pas dilihat tidak perlu ‘bermandi peluh’ untuk berkempen pada PRU15, sebaliknya terus bekerja seperti biasa dengan ‘menjual’ rekod bersih mereka bebas rasuah selepas 32 tahun.-
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.