https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemimpin BERSATU kecam Tok Mat kerana kata 1MDB isu basi


JOHOR BAHRU: Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa isu membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sudah basi, mencerminkan nilai kepimpinan UMNO yang angkuh selain tidak peka dengan suasana semasa.

Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri, berkata kenyataan itu menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti politik juga tidak peka dengan permasalahan dihadapi rakyat negara ini.

"Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan bukan sahaja kepada bangsa Melayu dan negara. Jadi, bagaimana dalam satu tempoh yang singkat, Datuk Seri Mohamad Hassan boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini.

"Sebaliknya, apabila Timbalan Presiden UMNO itu dengan 'bangga' mengatakan isu skandal 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat maka itu satu lagi tragedi melanda bangsa Melayu kerana memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa itu semata-mata untuk mempertahankan seorang pemimpin tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, jika benar sentimen itu yang mahu dimainkan oleh UMNO, maka parti itu sudah tidak ada nilai lagi kerana gagal membela dan memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, katanya, BERSATU Johor mendesak Mohamad supaya meminta maaf dan menarik semula kenyataan itu secara terbuka kerana ia telah melukakan hati, memalukan serta mencemarkan maruah seluruh bangsa Melayu.

"Orang Melayu seperti Datuk Seri Mohamad Hassan inilah sebenarnya orang Melayu yang mudah lupa. Pada masa sama, rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan.

"Mohamad mesti ingat, kemarahan dan kekecewaan akar umbi pada UMNO telah ditunjukkan melalui protes senyap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu apabila peratusan pengundi keluar untuk memilih calon, merosot dengan mendadak.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), rakyat akan menunjukkan protes seterusnya pada PRU-15. Kemenangan calon BN pada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN dalam tempoh dua tahun lalu tidak boleh dianggap kerana kekuatan BN tetapi disebabkan faktor lain termasuk ketidaksepakatan pembangkang," katanya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.