Sokongan RUU antilompat parti tonjol patriotisme Ahli Parlimen
Oleh Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim -
Kira-kira sebulan sebelum 31 Ogos, iaitu ulang tahun sambutan Hari Kemerdekaan, negara mengukir sejarah tersendiri apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti.
Seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir. Selepas ini Dewan Negara akan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada 9 Ogos ini bagi melengkapkan kitaran proses dewan perundangan peringkat Pusat.
Dengan itu, diharap ia akan diikuti setiap kerajaan negeri yang turut memerlukan
pindaan perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri masing-masing. Ia penting untuk menyeragamkan keperluan di kedua-dua peringkat, sekali gus memastikan kestabilan holistik.
Pastinya kesemua negeri akan segera mengambil tindakan masing-masing bagi memenuhi objektif besar negara memandangkan masalah sama turut menjejaskan kestabilan peringkat negeri dan tempiasnya dirasai di peringkat pusat.
Dalam hal ini, banyak negeri melahirkan komitmen mereka untuk mengadakan peruntukan undang-undang sama. Maka, tidak akan ada sebarang masalah ke arah itu. Keputusan dibuat Ahli Parlimen pada 28 Julai lalu itu mempunyai pengertian tersendiri. Membina dan konstruktif.
Kita sudah lama bercakap mengenai kestabilan berkekalan yang diperlukan. Akhirnya, Ahli Parlimen bertindak dengan penuh matang dan profesional menerima RUU diperlukan ini.
Ia khususnya selepas banyak perkembangan tidak sihat dari segi demokrasi berlaku sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ketika membentangkan RUU itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan penggubalan RUU itu dibuat untuk memberikan mesej jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti diwakili untuk melindungi mandat rakyat.
Komitmen kerajaan
Menurut beliau, RUU ini juga komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik tiada berkesudahan.
Beliau yakin RUU ini mampu menghentikan tindakan mana-mana wakili rakyat dipilih dan dilantik, daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.
RUU ini satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.
Keperluan undang-undang itu kelihatan amat mendesak selepas PRU-14 meskipun perkara itu sudah lama diperkatakan dan dibangkitkan.
Sejarah menunjukkan isu ini berbangkit sejak 1992 apabila kerajaan negeri Kelantan mencabar tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) keluar parti.
Yang pentingnya negara mengambil satu langkah membina ke arah sistem pentadbiran lebih membina, profesional, dan penuh berintegriti. Lebih penting lagi, sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan parti politik dan wakil rakyat.
Kestabilan semua peringkat
Keperluan undang-undang memberi mesej jelas negara memerlukan kestabilan di semua segi dan peringkat. Kita masih boleh mewujudkan kestabilan jika kita ada integriti dan rasa tanggungjawab dalam setiap tindakan dilakukan.
Kita masih mengekalkan satu-satu pentadbiran atau kerajaan berterusan jika tidak diganggu mana-mana pihak. Pentingnya setiap orang perlu ada rasa tanggungjawab kepada negara. Ini yang kita katakan patriotisme.
Pendirian dizahirkan ahli Dewan Rakyat pada Khamis lalu juga satu bentuk patriotisme. Kita perlu mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan parti politik.
Kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit. Kita tinggalkan cara berpolitik lama.
Kita amalkan pendekatan berpolitik baharu, lebih matang dan membina.
Oleh itu sokongan undi besar, melepasi sokongan dua pertiga, dengan sendiri menunjukkan ada persefahaman bersama dalam kalangan Ahli Parlimen
demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Perkembangan sejak PRU Ke-14 menunjukkan negara memerlukan gelombang kestabilan berkekalan demi menjamin kesinambungan pembangunan dan pertumbuhan serta kesejahteraan.
Semua pihak merasakan keperluan mendesak itu demi kepentingan bersama. Satu kumpulan pihak iaitu Ahli Parlimen mencerminkan keperluan itu dengan menyokong RUU diketengahkan dan memberi undi sokongan bagi memastikan ketidakstabilan politik berterusan.
Malah perkembangan pada 28 Julai lalu dengan sendiri menunjukkan kematangan parti politik. Kita tidak boleh ada wakil rakyat keluar parti sesuatu hati, sekali gus mengganggu-gugat pentadbiran negara.
Kita perlu menghormati mandat diberikan rakyat. Perbuatan menghargai mandat diberikan juga salah satu bentuk patriotisme. Lipatan sejarah 28 Julai 2022 menunjukkan institusi parlimen mengambil langkah jitu bagi meningkatkan martabat
parlimen dan sistem pilihan raya.
Selepas lebih enam dekad negara merdeka dan selepas 14 PRU diadakan, sudah sampai masa kita memerlukan kematangan berpolitik dan integriti dalam kalangan wakil rakyat.
Rakyat terutama pemilih akan membina persepsi positif terhadap ahli politik, parti dan wakil rakyat dengan penggubalan undang-undang ini. Ia juga mampu memperbaiki martabat wakil rakyat dari kaca mata pengundi.
Langkah terbaru ini menyumbang ke arah peningkatan penyertaan pemilih dalam pilihan raya, iaitu keluar mengundi, selepas situasi hambar disaksikan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Sebagaimana disebutkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika penggulungan, RUU ini bukan penyelesaian mutlak kepada semua permasalahan yang timbul tetapi ia langkah pertama ke arah lebih membina dan kestabilan.
Semoga impak positif lebih menyeluruh akan disaksikan selepas ini demi kesejahteraan bersama semua pemegang taruh.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.