https://critoxium.com/shop/

Terkini

Keldai akaun: Golongan profesional turut terjerat


SEREMBAN: Golongan profesional seperti doktor, peguam dan guru juga antara mangsa yang dijadikan keldai akaun dalam kes-kes penipuan scammer.

Seorang pengamal undang-undang, Mohamad Zahid Ahmad dari firma Zahid Ahmad & Associates berkata, kebanyakan mang­sa menjadi keldai akaun secara terpaksa selepas diugut oleh ahli sindiket untuk disebarkan video lucah membabitkan mangsa.

Jelasnya, modus operandi ahli sindiket sama seperti satu kes melibatkan seorang pelajar institut pengajian tinggi yang dikendalikan oleh firma guamannya baru-baru ini.

“Kes bermula apabila anak guam kami dihubungi secara rambang oleh seorang wanita menerusi aplikasi WeChat yang percakapannya dalam dialek Indonesia. Selepas beberapa kali berhubung, anak guam kami digoda untuk membuat panggilan video secara berbogel.

“Anak guam kami yang masih bujang termakan godaan tersebut dan membuat panggilan video dan berbogel dan wanita Indonesia itu juga berbogel sama. Tidak sampai seminit kemudian, panggilan video itu terus dimatikan.

“Kemudian satu nombor tidak dikenali menghubungi anak guam kami dan seorang lelaki Indonesia memberitahu telah merakam vi­deo berkenaan serta mengugut meminta wang sebanyak RM2,000 daripada anak guam kami atau tidak video tersebut disebarkan,” katanya lagi kepada Utusan Malaysia, semalam.

Oleh kerana bimbang, Moha­mad Zahid berkata, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan lelaki itu dan berharap video berkenaan dipadamkan.

“Lelaki tersebut bersetuju untuk memadamkan video tersebut dengan syarat anak guam kami memberikan nombor akaun bank miliknya, anak guam kami kemudian mengikut arahan tersebut.

“Akhirnya setelah tiga bulan peristiwa itu berlaku, pihak bank memaklumkan kepada anak guam kami bahawa akaunnya telah dibekukan kerana terlalu banyak transaksi.

Tidak lama kemudian anak guam kami ditangkap.

“Terdapat 60 laporan ke atas akaun anak guam kami, sehingga kini anak guam kami dihadapkan ke mahkamah berhubung 20 kes berkaitan di seluruh negara malah masih ada lagi yang belum dituduh. Pertuduhan kebanyakannya dikenakan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan atau Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil,” tambahnya lagi.

Jelasnya, apabila mengendalikan kes berkenaan, pegawai penyiasat ada memaklumkan, yang menjadi mangsa modus operandi tersebut bukan hanya pelajar IPT, malah, turut melibatkan guru, peguam dan doktor

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.