https://critoxium.com/shop/

Terkini

MP: Adakan sidang khas parlimen bahas skandal kapal LCS


Ahli Parlimen Bukit Bendera, Steven Sim meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memanggil sidang khas parlimen bagi membahaskan skandal pembelian kapal tempur pesisir (LCS).

Sim berkata Dewan Rakyat perlu membahaskan laporan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung projek berkenaan.

“Transparency International Malaysia (TI-M) menyamakan skandal LCS seperti skandal 1MDB dan berkata bahawa kerajaan Malaysia kini telah mempunyai reputasi yang buruk dalam menyelewengkan wang pembayar cukai,” kata Sim dalam kenyataan malam tadi.

Pembelian enam kapal LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan kontrak bernilai RM9 bilion yang telah bermula sejak 2011.

Bagaimanapun kapal berkenaan tidak disiapkan sehingga kini walaupun kerajaan telah membayar sebanyak RM6 bilion.

Kapal pertama sepatutnya diperoleh pada 2019, namun kini dijangka hanya akan diterima menjelang 2024.

Dalam kenyataannya Sim berkata kegagalan penghantaran kapal berkenaan adalah antara perkara yang perlu dibahaskan dalam sidang khas parlimen.

Isu lain yang ditimbulkan sebelum ini termasuk keputusan Kementerian Pertahanan memilih reka bentuk berbeza bagi kapal tersebut yang bertentangan dengan hasrat TLDM serta kemungkinan salah laku kerajaan Umno BN dari 2011 hingga 2018.

Antara mereka yang dikaitkan dengan isu itu ialah perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan dua menteri pertahanan iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein.

"Saya menyeru kepada Perdana Menteri untuk tidak melindungi rakan-rakan dalam parti beliau dan memikirkan kepentingan negara dengan memanggil satu sidang khas parlimen untuk membahaskan skandal LCS ini secara telus dan terbuka," kata Sim.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Pemuda DAP mengumumkan akan membuat laporan polis di seluruh negara mengenai isu berkenaan.

"Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk melakukan perkara yang sama kerana ini bukan sahaja membazirkan berbilion-bilion dana awam, tetapi yang lebih penting membahayakan dan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara kita," kata Ketua Pemuda DAP Kelvin Yii.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.