https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hasanah dibebas sepenuhnya kes pecah amanah RM50.4 juta


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan sepenuhnya bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid dalam kes pecah amanah jenayah bernilai AS$12.1 juta (RM50.4 juta) melibatkan dana kerajaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menyampaikan keputusan itu di akhir rayuan yang difailkan Hasanah terhadap Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), pada April tahun lalu.

Menurut undang-undang, tertuduh yang diberikan DNAA masih boleh didakwa atas pertuduhan sama di masa akan datang.

Namun Roz Mawar hari ini memutuskan bahawa DNAA selama lebih setahun adalah "tidak adil" kepada Hasanah, dan berkata keadilan tidak diberikan dengan cara itu.

Hasanah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda.

Pihak pendakwaan yang diwakili timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari dan Mohammed Fakhrurrazi Ahmad Salim tidak mencabar permohonan Hasanah untuk pembebasan penuh.

Hasanah, 63, diwakili Suhaimi Ibrahim, Hamdan Hamzah, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Izwan Ariff Ibrahim, Nurfaida Mohd Rashidee dan Mona anak Lubon.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dana kerajaan berjumlah AS$12.1 juta ketika dia berkhidmat sebagai ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Bagaimanapun pada April tahun lalu hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan Hasanah dilepas tanpa dibebaskan berikutan penegasan pihak pendakwaan mengenai perkembangan baru dalam kes tersebut.

Dalam keputusannya hari ini, Roz Mawar menyatakan, bahawa Ahmad Shahrir adalah tepat di sisi undang-undang memberikan DNAA kerana terdapat kemungkinan untuk mendakwa semula Hasanah berdasarkan bukti pada masa itu.

Susulan keputusan tahun lalu, Hasanah pergi ke SPRM untuk menuntut semula wang tunai yang dirampas ketika agensi antirasuah berkenaan menjalankan siasatan terhadapnya.

Bagaimapaun didapati kemudiannya sejumlah wang bernilai RM25 juta hilang manakala sebahagian lagi digantikan dengan wang palsu.

Kes itu terbongkar apabila pengguna media sosial tidak dikenali, 'Edisi Siasat' menyiarkan mendakwa polis takut untuk bertindak ke atas laporan polis Hasanah.

Bagaimanapun, polis menafikan menerima laporan berhubung perkara itu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.