https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRU-15: PAS bercita-cita besar tawan Pahang


KOTA BHARU: PAS berpotensi menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika kena cara dan kaedah.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari walaupun menyedari PAS hanya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 42 kerusi DUN di Pahang pada PRU lalu.

Barisan Nasional (BN) pula meraih 25 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) sembilan kerusi.

"Dalam PRU akan datang, jika penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepemimpinan Pahang, Insya-Allah PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang.

"Ambil contoh DUN Pulau Tawar yang mana PAS hanya kalah dengan majoriti 587 undi di tangan UMNO, sedangkan undi yang diperolehi oleh PKR ialah 1,973.

"Pengundi PKR dan PH di kerusi ini perlu berfikir sejenak betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.

"Jika pengundi mereka beramai-ramai memberikan undi kepada PAS, PAS boleh memenangi DUN Pulau Tawar," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, senario itu sebagai contoh sahaja, dan ia berlaku juga di beberapa DUN yang lain, misalnya DUN Tioman yang mana calon PAS mendapat 5,382 undi dan tewas dengan majoriti 1,280 di tangan calon BN/UMNO, sedangkan calon PKR di DUN itu mendapat 3,029 undi.

"Alangkah baiknya jika pengundi PH atau PKR dalam pilihan raya lalu dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada PAS pada pilihan raya kali ini demi merubah kepemimpinan kerajaan Pahang.

"Insya-Allah, selepas himpunan 20K akhir bulan lalu, jentera PAS Pahang kelihatan semakin bertambah aktif daripada barisan Pemuda, Muslimat, Ulama dan seluruh lapisan jentera bekerja keras demi memastikan PAS berjaya merampas Pahang.

"Jom, bantu Pahang. Jadikan negeri keempat selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.