https://critoxium.com/shop/

Terkini

Nik Abduh akui terima bantuan MPKB, PDRM dan JKR

 


Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan pihaknya menerima bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan dalam menganjurkan majlis kenduri perkahwinan dua anaknya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Sabtu lalu.

"Saya akhirnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PDRM, MPKB-BRI (Majlis perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam) dan JKR yang telah menerima permohonan saya untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat kami terutama dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

"Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pengutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat," katanya dalam tulisan penghargaan di Facebook, hari ini.

Terdahulu tular gambar sepucuk surat daripada Nik Mohamad Abduh yang memohon kemudahan tertentu daripada pihak MPKB-BRI.

Surat bertarikh 20 Sept lalu itu antara lain meminta PBT terbabit menyediakan beberapa kemudahan untuk melicinkan perjalanan sebuah majlis yang dirancang.

Antara kemudahan itu ialah meja, kerusi dan hiasan bunga.

Surat tersebut menjelaskan, anak bekas menteri besar Kelantan itu membuat permohonan bagi melancarkan majlis bekwoh (kenduri) kesyukuran Keluarga Besar Nikmatillah sempena perkahwinan anaknya.

Sementara itu Nik Mohamad Abduh merakamkan rasa syukur mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh tetamu yang hadir bagi menyerikan majlis bekwoh (kenduri) kesyukuran perkahwinan dua anakandanya iaitu Nik Ahmad Shah Waliyullah dan Nik Nurana Nazeehah dengan pasangan masing-masing.

Katanya dianggarkan sekitar 10,000 orang tetamu hadir dan lebih 30 kawah gulai dinikmati bersama selain juadah yang lain.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu turut merakamkan ucapan penghargaan kepada tetamu yang hadir termasuk Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin; Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dan timbalannya Mohd Amar Abdullah, serta kepimpinan PAS pelbagai peringkat.

Selain itu jelasnya, turut hadir adalah Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Piliha Raya PH Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

"Terima kasih khas buat Dato Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan rakan-rakan daripada Amanah yang turut hadir. Beliau adalah antara kawan lama almarhum ayahanda yang begitu setia berjuang bersama," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.