https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew jadi tumpuan

 


SHAH ALAM - Kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew kembali menjadi tumpuan apabila prosiding perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah bermula pada Selasa.

Seorang konsultan, Mohd Fairuz Abu, 37, tampil sebagai saksi pertama selain mahkamah turut memanggil enam individu bagi menjalankan proses pengecaman termasuk seorang pendakwah, Firdaus Wong serta tertuduh, Ebit Lew, 37 atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim.

Ebit Lew dilihat tenang dan tersenyum berdepan dengan media yang membuat liputan hari pertama prosiding tersebut.

"Saya rasa bersyukur walau berat ujian ini sebab saya macam tak sabar sebab sudah setahun saya tunggu, kalau boleh tahun lepas lagi saya nak selesaikan.

"Sebab saya bergerak ke mana-mana, itulah pandangan orang, sebutan orang jadi saya dah diuar-uarkan tidak baik di merata-rata, gambar yang tak baik, entah siapa-siapa. Jadi saya tidak sabar," kata Ebit seperti dilaporkan pada Selasa.

Ebit Lew yang diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye berhadapan dengan11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Prosiding perbicaraan yang akan bersambung hari ini (Rabu) di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, dan Nur Masrin Amalia.

Beralih ke senario politik negara, Pas dijangka memuktamadkan hala tuju kerjasama sama ada dengan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Perkara itu didedahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah beliau dimaklumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan Isnin malam.

"Saya diberi bayangan Pas akan buat keputusan yang 'firm'," katanya.

Sementara itu, menjelang perbentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan, beberapa pihak terus tampil menyuarakan cadangan dan harapan agar diberi perhatian kerajaan.

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengumumkan bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pula menggesa kerajaan memberikan moratorium hutang tanpa faedah ke atas semua jenis pinjaman termasuk kredit kecuali hutang kad kredit di bawah kawalan semua Kementerian bermula daripada 1 Oktober hingga 31 Disember 2022 sekiranya jumlah hutang pokok keseluruhannya tidak lebih daripada RM1,000,000termasuk mereka yang ada tunggakan melebihi 180 hari.

Selain itu, ujar Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin, kerajaan juga disaran mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Majikan untuk tempoh Januari-Disember 2023 demi kelangsungan sektor pekerjaaan dan mengurangkan jumlah pengangguran bagi menghadapi keadaan kemelesetan ekonomi yang dijangka lebih buruk tahun depan.

Manakala, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya menyifatkan peruntukan sehingga RM5 bilion setahun wajar disediakan kerajaan untuk tujuan pembelian semula tanah-tanah rezab Melayu dan memperuntukkan RM200 juta menerusi Bajet 2023 bagi pembangunan sosio budaya Melayu agar tidak luput ditelan zaman.

Dalam perkembangan membabitkan persediaan negara menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), sebanyak 186 kawasan berisiko berlakunya fenomena kepala air membabitkan kawasan air terjun dan sungai di seluruh negara telah dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, daripada keseluruhan kawasan, Sabah mencatatkan jumlah lokasi berisiko berlaku kepala air tertinggi iaitu 52 lokasi, diikuti oleh Kedah sebanyak 24 lokasi.

"Langkah berjaga-jaga sudah dibuat oleh beberapa jabatan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi persedian mengenal pasti lokasi terlibat," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.