https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rosmah fail permohonan saat akhir gugur hakim


KUALA LUMPUR: Keputusan perbicaraan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes projek solar hibrid yang dijangka diumumkan hari ini menjadi tanda tanya ekoran tindakannya memfailkan permohonan pada saat-saat akhir untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan daripada prosiding.

Permohonan tersebut merupakan percubaan terbaharu isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk menangguhkan keputusan akhir kesnya selepas tindakan sivil untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan tidak dibenarkan kelmarin.

Dalam notis usul yang juga difailkan kelmarin dan afidavit sokongan yang diikrarkannya, Rosmah meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial.

Kes ketirisan dokumen mahkamah itu kini disiasat polis di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 ( kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.

Rosmah menyatakan, pendedahan penulis artikel itu menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap Mohamed Zaini yang menghakimi kes projek solar dan selanjutnya mengumumkan keputusan yang ditetapkan hari ini.

Selepas 42 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan sama ada Rosmah disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau selanjutnya menyatakan, pendedahan penulis artikel berkenaan pada asasnya sahih kerana Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan tidak menafikan kewujudan keputusan penghakiman setebal 71 muka surat.

Rosmah selaku pemohon menyatakan, perbuatan menyediakan penghakiman oleh pihak ketiga melanggar Kod Etika Hakim dan Kod Etika Pegawai Kehakiman kerana hakim berkenaan sepatutnya menyediakan keputusan dan penghakiman sendiri.

Ujar Rosmah, penghakiman yang tular itu menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap hakim berkenaan sama ada kesnya diadili secara saksama tanpa pengaruh pihak ketiga.

Sehubungan itu, isteri bekas Perdana Menteri mahukan Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada keseluruhan perbicaraan manakala pengumuman keputusan digantung sementara menunggu pelupusan permohonannya.

Rosmah turut memohon prosiding tersebut dan perbicaraan didengar dan diputuskan oleh seorang hakim lain.

Notis usul bagi menyokong permohonan itu difailkan melalui Tetuan Akberdin & Co. kelmarin manakala kertas kausa diserahkan kepada pihak pendakwaan pada hari yang sama.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang menganggotai pasukan pembelaan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil dua saksi memberi keterangan iaitu Rosmah dan bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72.

Pada 18 Februari 2021, Rosmah diperintah membela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Keterangan bela diri Rosmah didengar pada 5 Oktober 2021. Bekas Perdana Menteri yang sebelum itu tersenarai sebagai saksi pembelaan, bagaimanapun tidak dipanggil memberi keterangan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman melibatkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.