Icerd: Menteri lantikan Dr M, 'pengkhianat' yang terlibat - Anwar
Anwar Ibrahim menangkis usaha untuk mengaitkan PH dengan usaha ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada 2018 sebagai senjata untuk menyerang gabungan itu pada PRU15.
Bercakap di program Jelajah Harapan Wangsa Maju malam tadi, pengerusi PH itu berkata dua individu yang dikaitkan dengan usaha ratifikasi Icerd - iaitu bekas menteri perpaduan P Waytha Moorthy dan bekas menteri luar Saifuddin Abdullah - bukan lagi sebahagian dalam PH.
“(Ada yang cakap) tengok Anwar ni pro-Israel, sokong Yahudi… dia sokong Icerd...Yang buat (terlibat dengan) Icerd siapa?
“Dua menteri (iaitu) Waytha Moorthy, yang sekarang sokong Umno, Zahid Hamidi. Dia dilantik oleh Mahathir jadi menteri. Dia DAP? No. Keadilan? No. Amanah lagi no,” katanya.
Pada September 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad telah memberitahu Perhimpunan Agung PBB ke-73 bahawa Malaysia akan meratifikasi Icerd.
Ia mencetuskan bantahan dan demonstrasi yang digerakkan pembangkang ketika itu, Umno dan PAS. Dalam masa kurang dua bulan, kerajaan akhirnya membatalkan idea itu.
Pada 22 Oktober lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata dia adalah individu yang memulakan "Langkah Sheraton" sebagai tindak balas terhadap usaha kerajaan PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani Icerd.
Susulan itu, Anwar dan veteran DAP Lim Kit Siang kemudian mendakwa Hadi melupakan peranan sekutu barunya Saifuddin dalam isu Icerd.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata bukan dia yang bertanggungjawab mengendalikan usaha ratifikasi itu, sebaliknya Waytha Moorthy.
Waytha Moorthy kemudian menyangkal kenyataan itu dan mendakwa ia tercetus selepas Saifuddin menyelitkan perkara itu dalam ucapan Mahathir di perhimpunan agung PBB.
Semalam, Anwar yang merupakan penyandang ahli parlimen Port Dickson yang kini calon PH di Tambun sekali lagi membangkitkan perkara itu dengan menyatakan Saifuddin kini bersama-sama PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
“Siapa yang sokong dan bawa ke Parlimen? Saifuddin Abdullah… pengkhianat dan sekarang PAS sokong dia. Yang PAS duk marah kita tentang Icerd pasal apa?
“Saya nak marah PAS pun tak boleh, dia dulu kawan (seangkatan) kita. Tapi (isu) Icerd ni (PAS) berhimpun beribu-ribu orang lawan Icerd...
“Sekarang kamu (PAS) ambil dan pergi sokong dia (Saifuddin) pula? Apa benda politik (jenis) ini?” soalnya lagi.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.