Politik dan bermain dengan kata-kata
Oleh Mohsin Abdullah
Apa yang paling menyakiti Umno daripada hujah yang diluahkan presiden PAS dalam Kuliah Dhuha beliau di Pantai Kelulut, Marang 14 Okt lalu?
Izinkan saya jawab apa yang saya tanya. Memang tuduhan Hadi Awang bahawa ada “kekeruhan” dalam BN (baca Umno) ditambah sikap “tidak sabar” dan “rakus hendak memerintah” menyakiti Umno. Tetapi itu bukan yang paling menyakiti.
Begitu juga tuduhan Hadi bahawa dalam BN ada “pemberi rasuah” dan masih ada “penerima rasuah”. Perit tetapi bukan yang paling perit.
Bagi saya yang paling perit dan paling menyakiti BN khususnya Umno apabila Hadi berkata: “Dia orang Islam, dia memerintah dekat 50 tahun cuai melaksanakan Islam. Melemahkan Islam. Ini kecuaian dia. Zalim.”
(Ini mengingatkan saya akan apa yang dipanggil Amanat Haji Hadi 41 tahun dahulu)
Pada Kuliah Dhuhanya Hadi juga berkata: “Kita nak laksanakan Islam di Terengganu, di Kelantan, dia rampas royalti. Hasil minyak Terengganu patut dapat ke Terengganu dapat ke Kelantan. Hok Terengganu dia rampas. Hok Kelantan dia tak beri.”
(Kata-kata itu saya petik laporan Harakahdaily, lidah rasmi PAS. Oleh itu soal salah lapor atau kononnya agenda media anti-PAS yang kerap dilempar tidak boleh digunakan kali ini)
Tetapi mengapa PAS menubuhkan Muafakat Nasional pada 2019 bersama Umno sedangkan tahu wujudnya “kekeruhan” dalam Umno-BN? Adakah semasa penubuhan MN, Umno tidak ada “kekeruhan” yang dimaksudkan dan “kekeruhan” itu hanya timbul baru-baru ini?
Mungkinkah Hadi bercakap mengenai BN ‘dahulu’ bukan BN ‘sekarang’ dalam konteks cuai laksana Islam dan rampas royalti minyak? Kalau begitu mengapa tangguh kerjasama dengan BN yang ada sekarang?
Perlu diingat sehari sebelum Kuliah Dhuha di Marang iaitu pada 13 Okt, mesyuarat AJK PAS Pusat yang dipengerusikan Hadi memutuskan PAS memilih Perikatan Nasional (bukan Umno-BN) sebagai sekutu menghadapi PRU15.
Ertinya, BN yang ada “kekeruhan” yang dimaksudkan Hadi ialah Umno-BN yang wujud dewasa ini. Kata beliau, “dalam Umno ni masih ada yang gelenyar lagi, yang tak insaf, yang tak sedar. Ini masalahnya, kekeruhan.”
Oleh itu berbalik persoalan setelah tahu ada “kekeruhan” mengapa dilangsungkan ‘perkahwinan’ (istilah yang diguna oleh PAS sendiri) dengan Umno? Pada hal inilah Umno (yang kata PAS ada ‘kekeruhan’) yang memeterai Piagam MN dengan mereka.
Namun yang menarik Hadi menggunakan perkataan “tangguh” ketika menyentuh soal kerjasama dengan BN untuk PRU15. Begini: “Bukan kita nak bermusuh, tak bermusuh. Tapi kerana ada keruh…kita tangguh dulu.”
Meskipun, kata beliau, “macam-macam pihak daripada setinggi-tinggi serendah-rendah mari pujuk saya gabunglah dengan BN ni.”
Tangguh ertinya tunda atau ‘tunggu dulu’. Persoalan lagi. Tunggu sampai bila? Kata Hadi dalam kuliahnya, “kita ambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan”. Bagaimana? Tidak pula beliau jelaskan.
Seperti dikatakan tadi, Hadi memberi kuliah di Marang pada 14 Okt lalu. Pada hari yang sama di Kota Bharu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, memberitahu media bahawa PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi PRU15. Adakah Umno-BN termasuk dalam golongan “mana-mana parti politik” yang beliau katakan?
Adakah kenyataan Takiyuddin boleh dikaitkan dengan “tangguh” kerjasama dengan BN yang dikatakan presidennya, atau beliau tidak tahu apa yang Hadi katakan di Marang?
Apa pun, BN terutama Umno pasti berang dan bengang dengan tuduhan yang dilontarkan kepada mereka. Adakah kata-kata Hadi ibarat “the last straw”? Sekaligus mengesahkan terkuburnya MN? Ikut logik atau pada zahirnya begitulah keadaannya. Tidak mungkin Umno boleh memaafkan Hadi dan partinya setelah menuduh mereka macam-macam.
Tetapi seperti disebut tadi, Hadi ada berkata “bukan kami nak bermusuh. Tak bermusuh”. Bagaimana pun dalam pada itu selain menuduh BN ada penerima dan pemberi rasuah serta tamak dan rakus, Hadi berpendapat “kegopohan BN untuk mendapat kuasa hinggakan bertindak membubarkan Parlimen semasa musim banjir kerana ingin menang cepat mendapat kuasa serta mengheret PAS terlibat sama.”
Oleh itu, kata Hadi, “kita gabung dengan PN, tolak yang beri rasuah, tolak yang terima rasuah. Laksana amar makruf nahi mungkar walaupun ini lebih payah. Lebih senangnya dengan Umno lah boleh menang cepat. Tapi kita tak gopoh.”
Namun Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa PAS memilih PN kerana Bersatu menjanjikan 47 kerusi ‘boleh menang’ kepada parti pimpinan Hadi untuk ditandingi PRU15 ini.
Hadi pula walaupun memberi komitmen partinya kepada kepada PN, memberitahu pemberita juga pada 14 Okt di Marang, PAS akan menggunakan lambangnya di Terengganu, Kelantan, dan Kedah apabila PRU diadakan. Ini katanya kerana lambang PAS dikenali penyokongnya di ketiga-tiga negeri yang diperintahnya itu. Diakui ada logiknya. Namun secara keseluruhan apa makna semua yang dihuraikan Hadi? Terpulang tafsiran masing-masing.
Cuma saya ulangi ungkapan “politics is the art of the possible”. Semua berkemungkinan dalam politik. Kata bijak pandai, dalam politik tidak ada lawan yang kekal, tidak ada kawan yang kekal, hanya ada kekalahan dan kepentingan.
Ingin saya menambah walaupun saya bukan golongan bijak pandai: Asalkan menang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.