Hak bersuara: Itu terbabas, bukannya bebas - Khairuddin
Tidak ada kebebasan mutlak dalam hidup manusia, kata bekas pemimpin kanan PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali, kerana setiap hak yang ada tetap mempunyai batasan.
Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu berkata batasan tersebut ada bagi memastikan seseorang tidak terlanjur sehingga melepasi had orang lain.
"Kebebasan bersuara tidak bermakna kita bebas untuk mencipta fitnah, bebas memaki-hamun manusia lain, bebas menjatuhkan maruah dan menghina. Itu terbabas, bukannya bebas," katanya malam tadi.
Komen Mohd Khairuddin itu muncul beberapa jam selepas PN mengecam kerajaan kerana menganggap Putrajaya sedang cuba mendiamkan para pengkritik mereka.
Sebelum itu Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa mereka mempunyai bukti menunjukkan kerajaan sedang menggunakan kuasa untuk 'menutup mulut' para pengkritik sekali gus menjaga kuasa mereka.
Antara lain PN mendakwa ada seorang ahli parlimen dipanggil oleh pihak berkuasa untuk diambil keterangannya kerana dipercayai menerbitkan bahan dianggap tidak sesuai atau mencabar kerajaan.
PAS sendiri menyuarakan bantahan apabila beberapa penyokong parti itu dikecam serta dimalukan sehingga mendorong individu berkenaan membuat laporan polis.
Dua kayu ukur berbeza
Aktivis TikTok terbabit dijadikan sasaran kritikan apabila didakwa memfitnah kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah Anwar.
PAS pula menganggap mereka sekadar "mendedahkan perkara yang tak betul".
Akaun TikToker itu kemudian dipercayai dinyahaktifkan.
PN menganggap tindakan penyokong kerajaan serta pihak berkuasa itu sebagai langkah menyekat kebebasan bersuara.
Mohd Khairuddin berkata pembangkang tidak wajar menggunakan dua 'kayu ukur' berbeza semasa mengambil sikap dalam isu kebebasan bersuara.
"Apabila melibatkan orang lain. kita seoleh-olahnya bebas bersuara menuduh dan membuat tohmahan serta melebarkan persepsi buruk.
"Namun, apabila terkena pada batang tubuh sendiri dituduh dan ditohmah, maka kita meraung dan meratap serta berdalil al-Quran dan Hadis, mengancam dengan neraka dan dosa semahunya.
"Hati-hatilah. Kita mempunyai hak bersuara namun bukan bebas bersuara sebebas-bebasnya hingga terbabas," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.