Hasrat Gerakan tanding semua negeri samar, kata penganalisis
PETALING JAYA: Sukar untuk PAS memberi laluan kepada Gerakan di tiga negeri dikuasainya terutama Kelantan dan Terengganu kerana majoriti pengundinya adalah Melayu, kata penganalisis politik.
Keadaan itu mungkin menguburkan hasrat Gerakan yang mengatakan dirinya mewakili masyarakat berbilang kaum untuk bertanding di semua negeri seperti disuarakan presidennya Dominic Lau, kelmarin.
Jika ada ahlinya menjadi calon di dua negeri terbabit, mereka akan bertanding menggunakan logo bulan PAS seperti diputuskan pimpinan Perikatan Nasional (PN) manakala di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang pula kekal dengan lambang komponen itu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS dan Bersatu tidak mungkin mahu kehilangan sokongan pengundi Melayu dengan meletakkan Gerakan di kerusi tradisi yang telah disandang sejak sekian lama.
Menurutnya, parti itu tidak boleh berkecil hati jika tidak diberikan kerusi di negeri dominan Melayu dan nasibnya boleh disamakan dengan MCA serta MIC yang mengharapkan kemenangan dengan sokongan ahli Umno.
“Tidak banyak boleh ditawarkan Gerakan di tiga negeri terbabit dan kalau diberi pun mungkin atas ihsan PAS, saya tidak nampak ia terjadi kerana agihan kerusi dikatakan telah selesai.
“Mungkin di tiga negeri Pakatan Harapan (PH) perlu calon Gerakan di kerusi Cina, mereka akan disokong PAS dan Bersatu yang boleh mendapat sokongan pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.
Dominic dilaporkan berkata pihaknya telah menghantar kurang daripada 70 nama kepada Majlis Tertinggi PN untuk dipertimbangkan sebagai calon.
Gerakan yang pernah bersama Barisan Nasional (BN) tewas di semua kerusi ditandingi pada PRU14, PRU15 dan PRN di Melaka serta Johor.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia pula berpendapat Gerakan sebagai rakan harus diberi laluan bertanding di semua negeri sebagai lambang keabsahan nasional PN sekiranya diberi peluang berkuasa lagi pada masa depan.
“Tidak timbul isu Gerakan relevan atau tidak, mungkin mereka boleh dipertimbang di kerusi mempunyai penduduk bukan Melayu agak tinggi seperti Alor Setar,” katanya.
Menurutnya, dalam politik harus ada proses timbal balik terutama PN berdepan situasi memerlukan Gerakan mewakili komponen bukan Melayu di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
“Tanpa Gerakan, PN mungkin merisikokan saki baki undi bukan Melayu yang enggan sokong PH atau BN,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.