https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sah bukan Guan Eng batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary - PM

 


Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lim Guan Eng tidak membatalkan sebarang pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary sewaktu ahli parlimen Bagan itu menjadi menteri kewangan.

Menjelaskan hal itu semasa sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri, Anwar yang juga menteri kewangan berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukannya menteri atau perdana menteri.

“Yayasan Albukhary telah diberikan kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.

"Kerajaan mengesahkan daripada rekod Kementerian Kewangan bahawa YB Bagan (Lim) - semasa menjawat jawatan menteri kewangan - tidak pernah buat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian sebelumnya (seperti) yang didakwa, diberikan kepada Yayasan Albukhary.

“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau (Lim) batalkan pengecualian adalah tidak benar kerana hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Feb 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai yang di luar kebiasaannya, melibatkan Yayasan Albukhary dan Kumpulan Al-Bukhary,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 10 Mac, Lim membuat penafian terhadap dakwaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang menuduhnya membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary semasa menjadi menteri kewangan.

Kenyataan itu dibuat selepas Muhyiddin dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk direkodkan kenyataannya.

Antara isu yang dibangkitkan oleh agensi antirasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Sementara itu dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Lim memberi tempoh sehingga esok untuk Muhyiddin menarik semula dakwaan terhadapnya dan memohon maaf atau akan berdepan tindakan yang lebih tegas.

Bekas setiausaha agung DAP itu juga sekali lagi bertegas bahawa dia tidak pernah memberikan arahan supaya pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary dibatalkan.

“Saya harap dia (Muhyiddin) menarik balik kenyataan dan meminta maaf kepada saya.

“… Saya harap beliau akan mengikuti perjalanan parlimen secara langsung dan beliau akan tahu apa yang berlaku.

"Harap beliau buat benda yang betul, buat secara bermaruah dan tarik balik, juga bermaafan supaya perkara ini boleh diselesaikan," katanya yang turut mendakwa bingung mengapa dia diheret dalam isu yang berada dalam siasatan pihak berkuasa, mengaitkan Jana Wibawa dan Yayasan Albukhary.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.