FSA2 KWSP: Lebih 50,000 mohon, hanya 27,705 layak
Seramai 59,230 orang telah memohon Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat semalam sejak dibuka pada 7 April, dengan hanya 27,705 sahaja daripada jumlah itu yang layak, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
"Mereka yang tidak layak itu kerana umur mereka di bawah 40 tahun, kerana kita dah maklumkan bahawa hanya yang berumur 40 ke atas yang layak," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Akauntan Negara (JANM) di Putrajaya, semalam.
FSA2 ialah satu kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Setakat ini, dua bank mengambil bahagian dalam FSA2 iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional.
FSA2 melibatkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.
Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.
Ahmad berkata meskipun kerajaan tegas tidak membenarkan pengeluaran KWSP walaupun ada cadangan ia diberikan kepada ahli yang benar-benar terdesak, pengeluaran KWSP bagaimanapun dibenarkan bagi tujuan perumahan, pendidikan, kesihatan, pelan perlindungan tertentu seperti sakit kronik dan sebahagian kos haji RM3,000.
"Kita tak kata apabila kita tak benarkan, maka tak boleh keluar KWSP. KWSP masih lagi boleh dikeluarkan. Ada lima perkara yang boleh dikeluarkan untuk Akaun 2 KWSP. Akaun 1 memang tidak dibenarkan untuk pengeluaran kerana ia adalah khas untuk tujuan persaraan," katanya.
Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini dilaporkan berkata adalah lebih mudah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP berbanding menggunakannya sebagai sandaran permohonan pinjaman.
Sementara itu, Ahmad berkata setakat 31 Dis lepas, jumlah aset dan liabiliti yang telah diakaunkan di Sistem Bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM2.85 trilion.
Beliau berkata JANM ketika ini masih meneliti dan mencari aset-aset kerajaan Persekutuan dalam bentuk pelaburan, harta dan pelbagai bentuk lain.
"Tahun ini kemungkinan kita dapat RM30 bilion aset lagi untuk diakaunkan," katanya dan menambah majoriti aset itu berada di dalam negara.
- Bernama
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.