https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahathir yang mudah lupa


Oleh Mohd Fauzi Fadzil 

Dr Mahathir Mohamad mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas kegagalannya menganjurkan program Proklamasi Orang Melayu dan menganggap ia disebabkan campur tangan daripada kerajaan.

Tiada sebarang bukti dikemukakan kecuali sangkaan dan telahan beremosi dilontarkan oleh Mahathir melalui sidang media pada 27 Mac lalu.

Mahathir turut melontarkan beberapa tuduhan terhadap Anwar semasa sidang media tersebut, termasuk menganggap perdana menteri menindas dan menghalang hak bersuara.

Semasa sebuat begitu Mahathir seakan-akan lupa kepada tindakannya sendiri yang menghalang kebebasan media sepanjang 22 menjadi perdana menteri kali pertama dulu.

Malah ketika itu terdapat cubaan menghalang Tunku Abdul Rahman daripada terus mengkritik kepimpinannya melalui rencana di akhbar arus perdana sekitar penghujung 1980-an.

Mahathir juga pernah dilaporkan Abdullah Ahmad Badawi menghalang sebarang kenyataan dibuat Hussein Onn selepas Umno diharamkan pada 1987. Abdullah turut mendakwa Mahathir terlibat menghalang media membuat sebarang penyebaran berita berkenaan Operasi Lalang.

Dalam kenyataannya Mahathir menuduh pemimpin politik Melayu yang berada di atas tampuk kekuasaan sekarang sebagai berpecah-belah dan menjadi punca kepada kelemahan pencapaian Melayu Malaysia.

Dalam isu ini Mahathir seakan-akan lupa bahawa perpecahan politik dalam kalangan kepimpinan Melayu di Malaysia adalah disebabkan oleh dia sendiri.

Antara perpecahan awal parti politik Melayu berlaku pada tahun 1987 apabila Mahathir bertembung dengan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga kemudian melahirkan parti Semangat 46.

Mahathir kemudian bertembung pula dengan Anwar sehingga mewujudkan Parti Keadilan Nasional, Pertembungan Mahathir-Najin Razak pula menghasilkan Malaysia.

Selepas itu Mahathir berseteru dengan Muhyiddin Yasin dan kemudian wujud Parti Pejuang Tanah Air. Terbaru Mahathir 'bertembung' dengan anaknya sendiri Mukhriz.

Anwar turut dituduh sebagai tidak mementingkan pembangunan orang Melayu ketika dia sebenarnya membawa gagasan untuk membangunkan semua kaum di Malaysia secara adil. Bahkan ia dianggap Mahathir sebagai melemahkan Melayu.

Mungkin Mahathir lupa sepanjang keberadaan dia menjadi perdana menteri objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal untuk dicapai. Orang Melayu gagal untuk menguasai 30 peratus ekuiti seperti yang disasarkan DEB. Pada masa sama anak-anaknya mencapai tahap jutawan hasil perniagaan masing-masing.

Secara keseluruhannya Mahathir lupa bahawa semua tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar sebenarnya menggambarkan kegagalan dia sendiri sepanjang memerintah Malaysia dulu.

Tanpa bukti, setiap tuduhan tersebut akhirnya kembali kepada Mahathir sendiri.


MOHD FAUZI FADZIL ialah timbalan ketua penerangan Pemuda PKR Selangor.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.