Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN, kata penganalisis
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan keputusan Umno memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas presidennya Najib Razak menjelang PRN sebagai langkah “tidak bijak”, kerana seolah-olah memberi senjata politik kepada pembangkang menyerangnya.
James Chin dari Universiti Tasmania mendakwa sentimen majoriti rakyat ketika ini menentang pengampunan diraja terhadap bekas perdana menteri itu, yang pada 31 Mac lalu gagal dalam usahanya menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda.
Hukuman itu dijatuhkan atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.
Chin berkata, ia mungkin boleh menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN selain menjejaskan imej Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang setakat ini hanya memberi maklum balas “tidak timbul konflik kepentingan membabitkan dirinya yang berada dalam Lembaga Pengampunan”
“PN boleh ambil kesempatan dengan memberitahu orang Melayu yang Umno masih belum berubah dan sokong budaya rasuah, asalkan dapat bantu Najib,” katanya kepada FMT.
James juga mempersoalkan waktu permohonan pengampunan diraja itu dibuat kerana Najib masih berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan yang prosidingnya masih berjalan di mahkamah.
“Mungkin persidangan Lembaga Pengampunan tidak dipanggil langsung (untuk memberi pengampunan kepada Najib) kerana kes lain masih berjalan,” katanya.
Najib ketika ini berdepan perbicaraan kes pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta, penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pecah amanah ke atas harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Pada 3 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.
Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersetuju menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan pengampunan diraja kepada Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan isu berkenaan dijangka tidak memberi kesan teruk kepada peluang Umno dalam PRN di enam negeri kerana permohonan pengampunan itu dibuat berdasarkan pandangan seorang hakim bahawa Najib tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.
“Jadi ini berbeza dengan Umno menyokong penyalahgunaan kuasa, walaupun empat hakim mengatakan Najib bersalah namun dengan satu penghakiman berbeza memberi kekuatan kepada parti itu untuk memohon pengampunan,” katanya.
Azmi merujuk kepada penghakiman minoriti setebal 78 muka surat dikeluarkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada 31 Mac yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International.
Sehubungan itu, Azmi berkata, kempen PN menggunakan isu itu mungkin kurang berkesan dan gabungan Bersatu serta PAS sepatutnya lebih menyasarkan kepada PH yang bersekongkol dengan Umno dalam permohonan pengampunan untuk Najib.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.