https://critoxium.com/shop/

Terkini

Steven Sim untuk Palestina


Oleh Faisal Tehrani -

 Petang itu saya tiba-tiba disapa seorang lelaki Arab di luar rumah yang nampaknya Inggeris beliau amat kepelatan. Dia bukan peminta sedekah atau penagih perhatian di hujung Ramadan. Di tangannya ada sekotak hadiah dan sepucuk surat. Ternyata beliau utusan. Dia nampaknya begitu komited dengan tugas dan benar-benar bersungguh.

Menjelang waktu berbuka, saya menanggalkan balutan kotak hadiah yang diberikan. Ternyata di dalamnya terdapat dua jenis kurma dari Palestina yang menggiurkan, bersama-sama sebotol minyak zaitun nan berkualiti. Orang yang menghadiahkan saya anugerah bermakna itu ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim.

Dalam surat yang ditulis buat saya itu, Saudara Steven memberitahu yang beliau “mengirimkan sedikit buah tangan produk hasil bumi Palestin’, yang mana ‘produk ini dipasarkan di Malaysia oleh warga Palestin yang bermastautin di negara kita”.

Apa yang mencengangkan saya ialah, dalam warkah itu, Steven mencatat begini; “saya semakin bertekad bahawa perjuangan Palestina mempunyai pelbagai sisi; ada perjuangan revolusi melawan rejim penindas, ada perjuangan siasah mengecap merdeka, ada perjuangan sastera dan budaya mengingatkan dunia kepada keindahan bangsa Palestin, ada perjuangan ekonomi bagi membina kemandirian rakyat Palestin.”

Saya berasa sebak. Dari sudut pandang Steven, beliau ikut menyumbang untuk perjuangan kemerdekaan Palestin dengan cara “menggalakkan komuniti Palestin di Malaysia untuk terus berniaga dan memajukan ekonomi Palestin.” Maka Steven mengkhabarkan yang dia memang melanggani pasar Palestin ini agar sedikit pun beliau ada jasa dalam membina ekonomi bangsa yang sedang berjuang melawan cengkaman penjajah.

Beliau menyatakan lagi, yang beliau menginsafi nasib “ekonomi jika tanah pusaka dibelenggu penjajah.” Tentu yang dimaksudkan Steven ialah kuasa Zionis nun di sana.

Setiap kali Ramadan, di Palestin, khusus Masjidil Aqsa akan berdepan dengan gempuran, gertakan, gugahan, dan ganas-ganasan penjajah. Sekali lagi tahun ini, rumah ibadat sesakral al-Aqsa dicerobohi dan dalam proses yang penuh kejahanaman itu, ramai yang tertangkap dan dicederakan. Minggu ini terdapat dua lagi rakyat Palestina dibunuh di Nablus.

Perjuangan rakyat Palestin perjuangan semua, tidak terhad kepada bangsa dan agama. Sesiapa sahaja yang ada peri kemanusiaan harus mempunyai hati dan jiwa untuk membantu agar Palestina merdeka. Masyarakat kita juga perlu mengerti yang bahagian dari Palestina juga terdapat mereka yang bukan Islam. Ia bukan sahaja isu atau subjek khas untuk muslimin dan muslimat. Sebagai contoh, ikon jurnalisme Palestina, Shireen Abu Akleh, yang dibunuh tentera Zionis tahun lalu seorang Kristian. Beliau ‘milik’ semua umat Palestin. Kerja kewartawanan Abu Akleh amat menggerunkan Israel apabila mendiang melakukan pendedahan demi pendedahan akan kejahanaman Zionis.

Saya sudah banyak kali menyebutkan yang umat Islam mesti mengangkat isu Palestina ini bukan sebagai isu umat, tetapi sebagai isu seluruh manusia. Ia mesti diangkat sebagai isu hak asasi manusia.

Ads by Kiosked

Pada 2021 misalnya, apa yang menimpa Palestin mendapat perhatian ramai yang bukan Islam. Di negara kita misalnya, pada tahun tersebut, Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching, dilaporkan berkata betapa “insiden ke atas rumah ibadat adalah perbuatan keganasan dan tidak sepatutnya berlaku terutama semasa Ramadan dan Aidilfitri juga bakal tiba.” Di peringkat sejagat; ahli Kongres AS, Pramila Jayapal, Marie Newman, dan Alexandria Ocasio-Cortez menyuarakan rasa jengkel mereka terhadap apa yang menimpa di kejiranan Sheikh Jarrah.

Palestina menurut saya mesti diperjuangkan bukan sebagai isu umat Islam. Barulah dengan itu Palestina akan lebih dipandang secara serius. Apa yang menimpa al-Aqsa mesti dilihat sebagai pencabulan dan keganasan terhadap agama, iaitu penindasan dan penafian hak asasi.

Menjaja Palestina dengan takbir dan protes jalanan sahaja tidak memadai. Menjaja Palestina dengan mengajak berkorban Aidiladha sahaja tidak memadai. Menjaja Palestina dengan memanipulasi derma untuk Gaza lagi-lagilah tidak memadai. Mesti ada jalan praktikal dari luar untuk membangunkan Palestina juga. Jalan rasional. Berfikir di luar kotak.

Maka gerakan atau titik usaha kecil seperti yang dilakukan oleh Steven amat bermakna. Bayangkan Steven melakukan itu kepada lebih ramai individu dan kelompok, termasuk yang bukan Islam. Kita akan menggerakkan kesedaran yang meluas, makanya desakan untuk kemerdekaan Palestina akan datang bukan sahaja dari umat Islam tetapi dari semua.

Masalah penjajahan yang menyayat hati di Palestina mesti diketengahkan seperti mana nasib Afrika Selatan di bawah cengkaman apartheid tatkala 1980-an lalu. Pekik takbir dan aksi membakar bendera Israel mungkin hanya memuaskan hati dan memanaskan keadaan seketika. Namun demikian ia tidak memberi sebarang usulan praktikal.

Satu lagi yang harus diingatkan ialah isu Palestina bukan untuk direbut dan bukan miliknya mana-mana individu atau parti. Sebagai amaran; ia bukan kegunaan politik tempatan untuk menyerlahkan siapa lebih Islami.

Ads by Kiosked

Ini menjelaskan kita apabila PAS Selangor menerusi Ketua Penerangan Nushi Mahfodz tiba-tiba menembak Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai lemah dan tidak tegas dalam menidakkan pencerobohan dan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa. Nushi kononnya melihat kenyataan perdana menteri yang sekadar “heinous crimes” itu sebagai lemah “kerana Israel tidak pernah menghormati hak kesejahteraan rakyat Palestin yang dirampas sejak 1948.”

Apa yang mengecewakan ialah saban tahun, umat Islam hanya akan melakukan retorika dan bentuk kempen yang sama, iaitu menjerit dan membakar; kemudian membakar dan menjerit lagi. Apa yang Palestina dapat dengan kenyataan keras seperti diidami Nushi? Palestina tetap tenggelam pada bulan-bulan lainnya dan kembali memuncak jika ada tragedi menimpa.

Gerakan kecil yang dilakukan Steven itu jauh lebih bermakna dan memberi kesan. Ketibaan lelaki Palestina dengan kotak hadiah berisi tamar dan minyak zaitun khas itu jauh mencuit kalbu dan mendorong perhatian berbanding kempen dengan teriak dan slogan.

Lebih-lebih kalau Palestina dimanipulasi secara memalukan untuk kegunaan politik murahan bagi menampakkan kebolehan menjelang pilihan raya negeri.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.