Fahmi: Negara perlukan media bebas, berani bersuara
Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tapi juga yang cukup berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa bimbang atau berat sebelah, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata media sedemikian diperlukan bukan semata-mata untuk mewujudkan semak dan imbang, malah ia juga bertujuan memastikan bahawa suara semua pihak dapat didengar dengan jelas dan diberi perhatian.
"Malaysia ditempatkan di kedudukan ke-73 dalam indeks World Press Freedom 2023 yang dikeluarkan pertubuhan Reporters Without Borders, kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai Malaysia tahun-tahun sebelum ini, dan ia tidak seharusnya dipandang enteng, kerana masih ada banyak usaha yang perlu dilaksanakan.
“Jadi saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, rakan-rakan media dapat duduk berbincang, mencambah buah fikiran, yang bukan sahaja akan dapat meluaskan pandangan kita, tapi juga akan mencari ikhtiar mengenai apa yang perlu kita lakukan demi masa depan industri ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Forum Media Hawana 2023 di Ipoh, Perak hari ini.
Forum dengan tema “Masa Depan Media” anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.
-Bernama
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.