https://critoxium.com/shop/

Terkini

Media dialu-alukan kritik kerajaan, tak perlu tapisan kendiri - Anwar

 


Media di negara ini perlu bebas sepenuhnya dan tidak harus melakukan penapisan kendiri dalam mengkritik kerajaan, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Anwar berkata dia juga tidak mahu pengamal media di negara ini meneruskan amalan di masa lalu apabila kerajaan disanjung dan dipuji, manakala pembangkang dinafikan hak bersuara.

"Kritikan-kritikan terhadap perdana menteri atau pimpinan itu diharuskan dan tak harus timbulkan rasa cemas dan takut di kalangan pimpinan.

"Saya lontarkan idea ini kerana saya yakin apa kita lakukan, dan saya bersedia bertempur dengan hujah dan kalau benar ada kelemahan, kita bersedia mohon maaf dan melakukan perubahan yang wajar

"Jadi sebab itu, rakan-rakan para wartawan yang beri sambutan yang luar biasa pada hari ini, harus menerima kenyataan.

“Jangan terasa mesti ada self-censorship kerana kalau kita mahu semarakkan suasana kebebasan dan demokrasi ini, kita harus hormati (prinsip kebebasan media)," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 hari ini.

Dalam ucapannya pada majlis yang diadakan di Ipoh, Perak itu, Anwar berkata media harus mempertahankan nilai dan prinsip yang baik dalam pelaporan mereka.

Ini katanya termasuk memberi peluang yang adil kepada pihak yang menentang kerajaan dalam menyuarakan pandangan mereka.

Bagaimanapun kata Anwar, ia bukan bermakna media harus mempertahankan golongan perasuah.

"Untuk memberi ruang kepada perasuah mempertahankan pandangan mereka seandainya mereka itu bersih, itu boleh.

“Tapi untuk pertahankan perasuah, atau penindas, atau penjenayah, itu tentunya tak wajar dalam satu negara sekiranya kita mahu angkat darjat dan martabat bangsa dan negara.

"Ini tak bermakna kita teruskan beberapa aspek budaya lampau, di mana siapa yang memerintah itu mendapat sanjungan dan pujian dan yang membangkang atau tak bersama pemerintah itu akan dicaci dan dihina. Saya tak mahu (amalan) ini diteruskan,” katanya.

Perdana menteri menegaskan pengamal media perlu merakam peristiwa dan mempertahankan prinsip berasaskan nilai dan akhlak.

"Maknanya di kalangan rakan-rakan kita yang tak bersama, atau memilih untuk menentang, itu harus diberikan hak menyuarakan tanpa merasa mereka itu terus dicela, dihina seperti mana yang kami alami dulu.

"Inilah perubahan dalam erti kata politik yang berdasarkan nilai," katanya.

Sebaliknya, Anwar juga mengingatkan media tentang bahaya menyebarkan sentimen agama dan perkauman sempit, yang menurutnya boleh mengancam keselamatan negara.

Dia berkata kerajaan prihatin dengan trend pihak tertentu mewujudkan perpecahan dalam negara dengan menggalakkan persefahaman sempit tentang kaum dan agama di kalangan belia di negara ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.