Setiap kali mempunyai masalah kewangan, KWSP dijadikan sasaran?
Tahukah anda bahawa Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat yang lebih tua? Menurut kajian, menjelang tahun 2030, 15.3% daripada penduduknya akan berusia 60 tahun ke atas. Ini bermakna sebahagian besar daripada penduduk akan bersara, dan ini akan memberi impak besar terhadap simpanan persaraan mereka.
Impak yang besar?
Berdasarkan laporan daripada KWSP, 6.7 juta ahli atau 51% daripada semua ahli KWSP yang berusia di bawah usia 55 tahun mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun simpanan mereka selepas pengeluaran. Jumlah ini mungkin akan menghasilkan pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun (RM42 sebulan = RM1.40 sehari). Jika keadaan ini berterusan, kumpulan yang berisiko tinggi ini akan mengalami kemiskinan pada zaman tua.
Cukupkah simpanan persaraan anda nanti?
Jika kita mengambil kira usia persaraan pada 60 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia perlu mempunyai simpanan mencukupi untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh 15.6 tahun yang akan datang. Dengan kadar inflasi serta kos sara hidup yang semakin meningkat, simpanan persaraan untuk menangani keperluan masa hadapan adalah sangat penting.
Justeru, bagi pencarum yang masih bekerja dan belum mencecah usia 55 tahun, masih belum terlewat untuk mereka mengambil tindakan bagi menambah semula simpanan persaraan mereka. Tanpa perancangan yang awal, mereka akan terkesan dalam jangka masa yang panjang.
Kita perlu ingat bahawa pengeluaran yang dilakukan lebih awal akan mengambil masa yang lama untuk diganti semula. Malah jika kedudukan gaji anda tidak berubah, usaha menambah simpanan ini akan menjadi lebih sukar.
Setiap ringgit yang anda simpan dalam KWSP akan dilaburkan dan nilainya akan berganda.
3.1 juta ahli yang membuat pengeluaran khas masih belum membina semula simpanan
Pandemik COVID-19 telah menjerumuskan ramai rakyat Malaysia dalam kancah masalah kewangan. Susulan itu empat siri pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas telah dilaksanakan ketika pandemik yang melibatkan nilai RM145 bilion.
Kemudahan pengeluaran itu dibenarkan memandangkan situasi yang dihadapi ketika pandemik adalah sangat luar biasa dan belum pernah dialami sebelum ini.
Sejumlah 8.1 juta ahli di bawah 55 tahun telah memohon sekurang-kurangnya satu daripada 4 jenis pengeluaran berkaitan COVID-19. Antara 8.1 juta ahli tersebut, 0.3 juta (4%) telah mencapai umur 55 tahun dan ke atas setakat Januari 2023. Ini membolehkan mereka mempunyai akses kepada simpanan KWSP mereka.
Baki 7.8 juta ahli (berumur di bawah 55 tahun sehingga Januari 2023) yang membuat pengeluaran khas, daripada jumlah tersebut 4.6 juta (59%) telah mula membina semula simpanan KWSP mereka, dengan pertumbuhan simpanan bersih berjumlah RM26.1 bilion dicatatkan dalam tempoh lapan bulan selepas kemudahan pengeluaran khas terakhir (Pengeluaran Khas) berakhir pada Mei 2022.
3.1 juta (39%) ahli yang membuat pengeluaran khas dan (berumur di bawah 55 tahun) setakat Januari 2023 masih belum membina semula simpanan mereka. Tahap simpanan mereka kekal rendah, dengan penjimatan median sebanyak RM890.
Komited membantu ahli bina semula simpanan dan jamin masa depan persaraan
Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.
Pengurusan keselamatan pendapatan selepas persaraan kekal sebagai mandat utama dan panduan kepada KWSP dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga emas yang sistemik.
Jumlah warga emas yang akan memerlukan sokongan kerajaan akan pasti meningkat, seterusnya memberikan cabaran dalam merangka dasar dari segi aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan, dan penjagaan kesihatan. Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan.
Dalam usaha untuk menangani krisis simpanan, KWSP giat menyokong dasar perlindungan sosial untuk kesejahteraan rakyat Malaysia melalui penglibatan aktif dalam jawatankuasa peringkat kebangsaan yang memberi tumpuan kepada peningkatan landskap perlindungan sosial negara, seperti Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), Majlis Warga Emas Negara, dan lain-lain lagi.
KWSP berharap usaha reformasi ini boleh menghasilkan sistem perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Mari kita bersama-sama membuat persediaan simpanan persaraan seawal yang boleh untuk mendapatkan jaminan kewangan yang kukuh.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.