https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Jangan guna naratif kolot!' - Anwar tempelak Hadi dakwaan PH tak layak pimpin kerajaan


 KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar tidak menggunakan naratif kolot selepas mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak layak menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan itu didominasi parti bukan Islam.

Perdana Menteri berkata, dakwaan Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang disifatkan sebagai tidak betul.
 
Tegas beliau, soal jumlah majoriti bukan Islam dalam gabungan kerajaan bukan perkara utama, sebaliknya yang lebih penting ialah dasar yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan. 
 
“Yang penting bukan soal jumlah majoriti ataupun tidak, yang penting dasar.
 
"Di mana dasar yang (menunjukkan) kita tinggalkan Islam, di mana? Kita khianat orang Melayu, mana? Kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek, di mana?
 
“Ini penting kita nilai dan jangan gunakan naratif kolot dan jumud yang lalu.
 
"Tanya (Pas) di mana (perjuangan) bahasa, budaya, Islam, seni, dan sastera yang kita lakukan,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Jumaat.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa PH tidak layak menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan itu didominasi parti bukan Islam.
 
Media melaporkan Abdul Hadi mendakwa kerajaan hari ini lemah kerana tidak dipimpin oleh parti Melayu-Islam.
 
Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan "Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?" di Muzium Kesenian Islam, yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
 
Mengulas lanjut, Pengerusi PH itu berkata, selain mengangkat penghayatan Islam, Kerajaan Perpaduan juga perlu memelihara hak bukan Islam memandangkan Malaysia sebuah negara berbilang kaum.
 
Perkara itu, jelas Anwar juga antara perjanjian yang dimeterai ketika membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Ini jaminan keamanan negara kita dan saya tidak cenderung untuk rakyat dipesongkan dengan sentimen ini (PH tidak layak memimpin negara kerana bukan Islam lebih ramai).
 
“Yang dia (pembangkang) tak dijawab ialah kenapa sekarang kita boleh ambil tindakan tegas hentikan rompakan?
 
“Saya tahu ada dalam kalangan pembesar, tokoh-tokoh lama… itu dia kata, buat apa nak korek yang lama-lama? Bukan saya korek, (tetapi) harta rakyat mesti dipulangkan,” tegas Anwar lagi.
 
Dalam masa sama, Anwar menambah Kerajaan Perpaduan dan pembangkang perlu sama-sama berusaha menghentikan amalan guna kuasa dan kedudukan untuk merompak harta rakyat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.