https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH tak tergugat 'warlord' UMNO sertai PN


Oleh ROSLINDA HASHIM

POKOK SENA - Pakatan Harapan (PH) tidak tergugat apabila nama-nama besar yang merupakan bekas pemimpin UMNO menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana sebahagian daripada pemimpin berkenaan memiliki rekod sebagai ‘pemimpin yang tidak bersih’ dan terpalit dengan kes tertentu.

Menurutnya, penyertaan mereka juga tidak akan menyebabkan sokongan terhadap PH pudar dan langsung tidak memberi kesan besar.

“PH tak tergugat apa pun, sebab bagi saya pengumuman tokoh-tokoh itu ada antaranya nama yang sangat dipersoalkan, rekod pun tak bersih,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra ahli- ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini pada Selasa.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas penyertaan Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam Pas yang diumumkan pada Sabtu.

Pada Isnin pula, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN akan mengumumkan senarai nama 10 'panglima perang' atau 'warlord' UMNO yang disisihkan dan akan menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut antara individu yang akan menyertai PN.

Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah sebaliknya menyifatkan penyertaan Annuar dalam Pas umpama mencari tempat untuk berteduh.

Annuar sendiri katakan bahawa dia tidak berminat dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), maknanya dia sendiri pun tak terima kepimpinan Bersatu jadi dia nak cari tempat yang dia rasakan boleh pengaruhi, itu saja,” ujarnya.

Mahfuz tegaskan, gabungan PH-BN yang menerajui Kerajaan Perpaduan juga mempunyai tokoh dan nama-nama besar yang mampu menyaingi pemimpin PN.

“Tokoh-tokoh dalam PH, BN pun semua yang mempunyai nama besar. Kita ada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri), besarlah tu pemimpin kita.

“Mereka pula masuk sebab yang ada kecil-kecil. Jadi kalau masuk jadilah mereka ada tokoh besar,” katanya lagi.

Menurutnya, disebabkan itu, PH-BN tidak memerlukan pendekatan seperti yang dilakukan PN dalam usaha memancing undi.

Ditanya sama ada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi tampil mengadakan rundingan bersama PH untuk berhadapan PRN, Mahfuz berkata, setakat ini tiada rundingan baharu diadakan antara dua pihak.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.