https://critoxium.com/shop/

Terkini

Logo berbeza rai merdeka cubaan politikkan acara negara

Oleh Oleh Rohaniza Idris -

Alasan diberikan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari bahawa logo dan tema Hari Kebangsaan mempunyai unsur politik kerana mengangkat logo Malaysia MADANI, jelas sekali memperlihatkan mereka sebenarnya berpolitik dalam penggunaan logo dan tema ini.

Dalam isu ini, perlu difahami sambutan Hari Kebangsaan adalah usaha digembleng kerajaan untuk menyemarak dan meraikan hari kemerdekaan setiap tahun. Lazimnya, logo dan tema Hari Kebangsaan ditentukan kerajaan memerintah dan menjadi tradisi diraikan setiap tahun tanpa mengira siapa parti memerintah ketika itu.

Sambutan Hari Kebangsaan ini bermatlamat menyemarakkan semangat cintakan negara, selain bersyukur dengan nikmat merdeka, mengeratkan kesatuan dan perpaduan rakyat.

Logo dan tema dihasilkan ini juga bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan nilai kebangsaan rakyat pelbagai kaum, sekali gus bebas daripada elemen politik.

Namun, tindakan mahu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan peringkat Persekutuan, sebenarnya turut mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan. Soalnya, siapakah berpolitik dalam isu ini. Kerajaan Perpaduan atau Pemuda PN?

Pemikiran di luar kotak Pemuda PN ini seperti sengaja membangkitkan perselisihan yang akan menyebabkan politiking berterusan dalam negara dengan menjadikan logo dan tema Hari Kebangsaan sebagai modal politik.

Perlu difahami tema dan logo Hari Kebangsaan diumumkan Kerajaan Perpaduan - 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' adalah selaras dengan dasar sedang dilaksanakan ketika mentadbir negara ketika ini.

Raikan kepelbagaian

Rasional menggunakan logo dan tema memiliki elemen Malaysia MADANI adalah petunjuk kerajaan serius menjadikannya sebagai panduan dan ikhtiar secara bersepadu dalam pentadbiran supaya sifatnya lebih manusiawi.

Selaras dengan makna Malaysia MADANI itu sendiri, tema itu juga bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

Sebagai sayap penting kepada PN, Pemuda PN layak bersuara lantang, tetapi tidak boleh meletakkan emosi melebihi akal dan perlu lebih bijak dan matang dalam hal ini.

Memang benar, setiap parti mahu mempertahan prinsip dan perjuangan, tetapi sambutan Hari Kebangsaan adalah 'acara negara', bukan majlis parti politik dan diraikan rakyat seluruhnya tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.

Mungkin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menitipkan nasihat kepada Pemuda PN kerana sebagai bekas Perdana Menteri dan pernah menjadi ahli Kabinet berpuluh tahun, beliau tentu lebih faham isu berkaitan sambutan kemerdekaan negara ini adalah majlis rasmi kerajaan.

Ramai pemimpin PN sekarang juga pernah berada dalam Kerajaan Persekutuan, sudah tentu faham dan arif sambutan Hari Kebangsaan adalah untuk semua rakyat, bukan menjadi 'alat propaganda' politik bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Semua maklum, 9 September ini akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor. Justeru mencetuskan polemik membabitkan logo dan tema Hari Kebangsaan ini sebagai satu keputusan tidak kena pada waktunya.

Dalam situasi sekarang, Pemuda PN sepatutnya mengajak rakyat turun beramai-ramai meraikan Hari Kebangsaan dan melupakan sengketa politik seketika, tambahan pula selepas penat 'bergasak' dengan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos lalu. Dalam hal, ini seluruh rakyat perlu sedar dan faham mempertahankan kemerdekaan negara termasuk meraikan Hari Kebangsaan secara bersama adalah satu kewajipan, bukan mainan politik murahan kepartian.

 Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.