Perlukah tubuh sekolah miskin?
Oleh Muhamad Lokman Khairi -
Pembinaan sekolah khas untuk murid daripada keluarga miskin seperti diumumkan perdana menteri baru-baru ini memerlukan kajian menyeluruh terutama membabitkan kemampuan kewangan kerajaan, keperluan semasa dan kelompok yang benar-benar memperoleh manfaat daripada penubuhannya.
Hal ini disebabkan secara umum sistem pendidikan Malaysia masih diselubungi pelbagai isu yang masih gagal diatasi dengan baik. Antaranya isu kekurangan guru, keengganan berkhidmat di kawasan pedalaman, sekolah daif dan fasiliti sekolah yang serba kekurangan.
Bagaimanapun secara umumnya, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata idea penubuhan sekolah jenis itu adalah baik.
Namun ia masih memerlukan kajian menyeluruh kerana kemiskinan adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng.
Malah tegas Mohd Azizee, kemiskinan adalah punca berlakunya isu keciciran dalam pendidikan. Justeru, kewujudan sekolah khas itu berpotensi menjadi penyelesaian kepada masalah terbabit.
"Kalau ingin ditubuhkan, saya fikir tidak semestinya membina bangunan baharu tetapi boleh juga memanfaatkan sekolah sedia ada sebagai projek rintis.
"Pengambilan murid mesti mereka yang benar-benar layak dibantu. Namun kerajaan juga wajar membentangkan data terkini berhubung jumlah murid tercicir dan faktor penyumbang dalam kajian mereka," katanya.
Tegas Mohd Azizee, penubuhan sekolah jenis ini juga seharusnya turut mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk persatuan guru juga ibu bapa. Hal ini disebabkan mereka adalah pemegang taruh utama dalam dunia pendidikan.
Tambahnya, meskipun pun tujuan membuka peluang pendidikan kepada golongan kurang mampu sebelum ini sudah dibuat menerusi penubuhan sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara, namun kedua-duanya dilihat tidak lagi mampu menampung keperluan sedia ada.
"Dalam hal ini bukan saja isu berkaitan bantuan kepada murid miskin.
"Tapi bagaimana kita bagi peluang kepada mereka khususnya dari kawasan pedalaman untuk dapat akses pendidikan yang terbaik?," katanya.
Justeru tegas Mohd Azizee, perlu ada mekanisme khusus dari sudut kaedah pengambilan, penempatan dan tawaran kurikulum bagi murid-murid yang disasarkan supaya pelaksanaannya tidak sekadar melepaskan batok di tangga.
Tambahnya, pembinaan sekolah sedemikian perlu dibuat di daerah atau kawasan pedalaman tertentu dalam kelompok miskin yang disasarkan.
Bagaimanapun katanya, dalam masa sama fakta yang perlu disedari perancangan kerajaan ini akan tempang sekiranya isu guru tidak mencukupi, sekolah daif di kawasan pedalaman dan luar bandar tidak diselesaikan terlebih dahulu.
Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata penubuhan sekolah khas untuk murid miskin akan memberi ruang dan peluang untuk mereka mendapat pendidikan sempurna.
Namun, dalam masa sama akan wujud kesan negatif iaitu pengasingan dalam bentuk kasta atau lapisan sosial.
"Jika ini berlaku, ia akan memberi impak jangka panjang terhadap keyakinan diri, penerimaan kendiri masyarakat dan psikologi murid sendiri yang merasakan mereka adalah generasi kelas bawahan.
"Justeru, sekolah khas itu jika mahu diwujudkan memerlukan penjenamaan yang berbeza," katanya.
Tegas Mohd Nazri, klasifikasi 'murid miskin' akan menimbulkan sentimen masyarakat terhadap murid-murid di sekolah itu sebagai 'kelompok subsidi' atau 'miskin meminta belas kasihan' , sedangkan setiap mereka mempunyai potensi daya saing dan mampu untuk hidup dalam masyarakat sebagai murid bermaruah serta boleh berdikari.
Susulan itu katanya, hasrat pembinaan sekolah khas itu cukup dimasukkan dalam agenda Kementerian Pendidikan Malaysia dengan mewujudkan kluster sekolah tertentu dengan fokus kepada murid daripada keluarga miskin.
Pengambilan muridnya juga tegas Mohd Nazri, jangan sekali-kali diadunkan bersama murid daripada keluarga T20 bagi mengelakkan berlakunya kes buli dan sebagainya.
Selain murid, psikologi dan penerimaan ibu bapa juga harus difikirkan kerana pastinya tiada siapa suka dilabel miskin, apatah lagi menghantar anak ke sekolah khas 'paling miskin'.
"Adakah anda sanggup untuk hantar anak anda ke sekolah khas di Chow Kit, misalnya? Pastinya tidak walaupun segala kemudahan fizikal dan keperluan pembelajaran sangat baik termasuk gurunya.
"Sebab ia akan memberi satu persepsi lain bagi masyarakat mahupun ibu bapa terhadap sekolah ini.
"Walaupun kualiti pengajaran dan pembelajaran di situ sangat baik dan memberi impak terbaik, namun anak-anak di situ masih berasa 'terasing' terutamanya apabila ada pengunjung atau tetamu luar," katanya.
Mohd Nazri mencadangkan, lebih baik diwujudkan kluster baharu 'Sekolah Pintar Cerdas' dalam konteks terma yang lain tetapi tidak dilabelkan sebagai sekolah anak miskin. Namun fokusnya masih sama iaitu memberi ruang kepada anak-anak yang pencapaiannya kurang memberangsangkan.
Tegas beliau, kerisauan terbesar adalah persepsi golongan paling miskin tidak dapat bergaul secara mental dan fizikal dalam sistem pendidikan aliran utama sehingga perlu diadakan suatu sekolah khas untuk mereka.
"Saya paling risau apakah penerimaan dan persepsi masyarakat umum terhadap kelompok ini apabila setelah mereka menamatkan persekolahan.
"Bagaimana jika wujud garis pemisah atau persepsi bahawa mereka ini kasta atau lapisan bawahan?
"Jika ia berlaku, akan wujud jurang dalam pergaulan, kepercayaan, penerimaan dan status sosial dalam masyarakat. Dalam jangka panjang, akan berlakunya diskriminasi dalam pemilihan penempatan sama ada di universiti mahupun kolej apabila murid ini mendapat label 'miskin yang ditolong sedangkan pencapaian tidak memberangsangkan'," katanya.
Justeru tegasnya, fungsi sebenar pendidikan perlu dikembalikan kepada sedia ada iaitu 'pendidikan untuk semua' tanpa perlu melabelkannya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.