https://critoxium.com/shop/

Terkini

Madanifobia dalam kalangan Melayu

Oleh Faisal Tehrani

Ramai yang bertanya kepada saya, kenapakah Melayu sentiasa merasakan Islam terancam padahal perangai sesetengah mereka macam musuh Allah iaitu Iblis?

Mengapa pula mereka Madanifobia? Iaitu takut dengan Islam yang rahmah, berperadaban, berpemikiran, berkeadilan sosial dan sanggup hidup bahagia bersama masyarakat bukan Melayu dan Islam seraya mencapai kesentosaan bersama-sama.

Mengapa satu daripada empat Melayu fobia dengan Madani.

Ada penjelasan sejarah tentang mengapa Melayu di Kelantan dan Terengganu tidak sanggup berubah.

Apabila Abdul Kadir Munshi belayar ke Pantai Timur Tanah Melayu pada abad ke-19, dan merakamkannya dalam Kisah Pelayaran Abdullah, almarhum Munshi mendokumentasikan antara lain kezaliman penguasa Melayu, keganasan yang mereka lakukan, perang saudara yang tidak membawa apa-apa makna, pelacuran, dan perhambaan ekoran hutang.

Munshi menyatakan ada penjenayah yang gara-gara ingin melepaskan diri dari hukuman tertentu telah menyerah diri kepada pemerintah Melayu dan sanggup menjadi hamba.

Oleh sebab mereka asalnya adalah samseng dan penjahat, mereka kini menjadi lebih bebas untuk melakukan jenayah di kampung Melayu atas nama hamba raja tertentu.

Samseng ini digunakan untuk merampas harta benda orang kampung. Hari ini samseng pun boleh jadi calon pilihan raya.

Munshi mencatatkan perihal kesamsengan itu begini:

“Shahadan, adalah sebab segala perkara ini jadi sebab aniaya rajanya, dan tiada betul perentahnya. Maka pechahlah hati segala ra’ayat. Maka adalah, pada fikiran mereka itu, baiklah aku miskin demikian, tiada susah; dapat pagi, makan pagi; dapat petang, makan petang. Dan kalau ada berharta atau berumah baik atau berladang dan kebun besar, neschaya dicharikan raja sasuatu jalan, diambilnya dan dipinjamnya atau dimintanya.

“Maka jikalau tiada diberi, dirampasnya; dan kalau melawan, habis sakalian anak buah dibunohnya dan didendanya; itulah sebabnya negeri Terengganu itu tiada ramai, dan segala orang dagang pun takut masok, dan segala saudagar pun tiada.”

Dengan Cina, Melayu rasa terancam. Dengan samseng yang merompak mereka, Melayu OK.

Namun yang lebih mencengangkan sebetulnya adalah Melayu bersikap lali, bersahaja, dan membiarkan penindasan seperti disebut Munshi bebas terjadi.

Perenggan di atas memaparkan korupsi yang menggencatkan pembangunan orang Melayu di samping wujudnya pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa. Malahan pencabulan hak tersebut diterima dan tidak lagi dilawan.

Sikap tak melawan

Sikap tidak melawan ini ialah kerana Melayu tidak ada semangat untuk berubah kepada kebaikan. Dalam erti kata lain, jika negeri buruk dan kotor, mereka akan setia dengan keburukan dan kekotoran negeri itu.

Jika negeri itu tidak maju, mereka akan OK dengan kemunduran itu. Hatta harta benda dirampok sekalipun Melayu OK, maka sekadar tiadanya air mandi manda bukanlah suatu yang terlalu hal.Yang penting Cina mengancam, Islam mesti dibela.

Melayu lupa yang tiada mereka pun Islam tetap unggul dan terbela. Islam bukan Melayu punya.

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menulis sebuah artikel pendek berjudul “Tragedi Pemikiran Melayu”.

Beliau menukilkan begini:

‘…saya rasa Melayu tidak sanggup berubah; perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.”

Orang Melayu tidak berani mempersoalkan.

Ungku Aziz menyinggung betapa tiadanya budaya inquiry mind yang menunjukkan juga tidak ada sikap saintifik.

Ungku Aziz menegaskan Melayu “tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.”

Oleh sebab tiadanya pemikiran saintifik, Melayu menjadi selesa. Agama dan tunggak kuasa misalnya menjadikan Melayu selesa. Saya petikkan kata-kata Ungku Aziz di sini:

“Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.” Ketakutan Melayu kepada Madani, dan kegemaran mereka kepada hal-hal yang tidak membangunkan pemikiran, dan tidak berperadaban amatlah merengsakan. Mereka, iaitu Melayu adalah bangsa paling penakut.

Mereka takutkan Cina. Mereka takutkan Kristian. Mereka takutkan macam-macam. Mereka takutkan momok-momok yang tidak ketahuan apa.

Kalau ada ustaz datang ke surau dan menghamburkan ketakutan, mereka pun menggelupur takut. Apa yang ditakuti tidak jelas.

Seperti Melayu di Terengganu dan Kelantan di zaman Munshi Abdullah belayar ke sana pada abad ke-19.

Lawan ‘Melayu penindas’

Yang mereka patut lawan ialah Melayu penindas, tetapi Melayu penindas itu pandai mengacum. Maka mereka ditakutkan.

Kalau tiada penguasa sekian-sekian misalnya mereka akan terabai, padahal nasib mereka memang sedia diabaikan pun.

Ketika perhambaan, pelacuran dan juga kesamsengan berlaku di negeri-negeri Pantai Timur itu, Islam konon subur di negeri tersebut. Pengajian agama dan pondok dibuka bagai cendawan tumbuh.

Tetapi agama itu tidak mengajarkan mereka melawan penindasan seperti yang Rasulullah SAW ajarkan. Agamawan mengajarkan perkara takut. Maka orang Kelantan danTerengganu diwariskan dengan sifat begini. Itulah konteks sejarah di Kelantan dan Terengganu.

Di Kedah, hal yang tidak begitu berbeza juga berlaku. Cuma ramai orang terlupa betapa ketaasuban, keekstreman dan juga ketertutupan lebih pekat di sini.

Di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tidak ada peluang berlaku seperti insiden Memali. Di Kedah, itu berlaku.

Umat sangat rapuh dan boleh berantakan demikian rupa. Melayu yang takut dengan perkara-perkara yang tidak diketahui jelas itu pun diperkukuhkan lagi dengan tembok-tembok takut.

Dek fobiakan macam perkara, Melayu mengambil keputusan untuk Madanifobia. Itulah nasib Melayu, dari sejak zaman lalu sehingga kini.

FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.