Anwar: Saya tak mahu jadi PM jika perlembagaan dipertikaikan
Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dia tidak akan menjadi perdana menteri sekiranya prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dipertikaikan.
Berucap dihadapan ratusan hadirin di Ceramah Mega Perpaduan Madani pilihan raya kecil (PRK) DUN Simpang Jeram malam ini, Anwar menasihatkan pihak tidak bertanggungjawab terutama pembangkang tidak membangkitkan isu terbabit untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
"Siapa yang boleh pertikai kepemimpinan Melayu, kuasa Melayu, Islam agama persekutuan, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu...(jawapannya) tidak ada.
"Kawan-Kawan kita dalam DAP, MIC, MCA bahkan PKR yang bukan Melayu tidak pernah pertikai itu dan saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai," katanya disambut sorakan hadirin.
‘Sakau’ kurangkah masa perintah dulu?
Majlis ceramah di Sungai Abong di Muar malam ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta calon PH bagi kerusi itu, Nazri Abdul Rahman.
Anwar berkata parti pembangkang sekarang, ketika memerintah negara sebelum ini, tidak melakukan sebarang perubahan walaupun berkuasa dengan janji dan slogan yang kononnya menekankan ‘Islam dan Melayu’.
“Adakah Islam ditegakkan dengan lebih baik, adakah rasuah berkurangan, adakah amalan sakau harta rakyat berkurangan, tidak ada, yang banyak hanya slogan.
Anwar sepentas bersama calon PH DUN Jeram Nazri Abdul Rahman
“Jadi, tak usahlah gunakan ia untuk takutkan orang Melayu" tegasnya. Jelas Anwar, keadaan amat berbeza di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan yang akan terus mempertahan dan membela nasib rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Menurut perdana menteri lagi, dia tidak kisah dicerca atau dimaki namun dia tetap berazam menjadikan Malaysia sebuah negara ekonomi hebat di rantau ini.
"Makilah saya macam mana sekali pun, kamu cerca dan hina saya macam manapun.
"Bukan baru, 25 tahun saya dihina. I don’t care,” katanya.
Anwar berkata penduduk Simpang Jeram memberi sokongan padu kepada Nazri untuk menjadi wakil rakyat bagi menguatkan lagi kerajaan negeri sekali gus membantu mempermudah usaha memacu pembangunan di kawasan itu.
“Pastikan Nazri menang selesa. Angkat Nazri biar dia kerja, biar kita pantau, biar dia pastikan Johor dan Kerajaan Persekutuan bantu orang di Simpang Jeram,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.