https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apakah Isham Jalil akan dibeku-keraskan?


Oleh Hishamuddin Aun

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi khabarnya terharu benar dengan sambutan hangat terhadapnya ketika menghadiri Konvensyen DAP di Hotel Marriott, Putrajaya pada Ahad.

Baru diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi, tidak silap jika beliau beranggapan ia suatu pengiktirafan terhadap dirinya.

Tepukan gemuruh daripada ahli-ahli DAP dirasakan seperti melenyapkan terus permusuhan Umno-DAP berdekad-dekad lamanya pada ketika Zahid harus berasa di awang-awangan di sebalik harapannya agar ia tidak mengundang “pelbagai interpretasi”.

Ditambah pada malam sebelum itu, kedua-dua calon Pakatan Harapan (PH) menang pada PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram, kerjasama erat BN dan DAP dilihat sesuatu yang bukan saja boleh dijayakan, malah semakin diterima ramai di peringkat akar umbi. Sekurang-kurangnya, itulah naratif yang hendak dijaja kedua-dua parti.

Lantas, Konvensyen DAP itu yang turut menyaksikan Zahid memecah tradisi sebagai presiden Umno pertama menghadirinya selepas lebih 60 tahun kedua-dua parti berseteru, cukup menepati masa, menjadikan perhimpunan itu sesuatu yang sangat bermakna di samping menghantar isyarat semangat setiakawan itu akan terus dipereratkan.

Namun, bercakap mengenai ketepatan masa dan berpegang kepada perumpamaan “orang berbudi, kita berbahasa” yang diungkapkan Zahid atas jemputan DAP itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil sebaliknya mengulangi perlunya parti itu ‘berpisah’ dengan PH terutama DAP pada pilihan raya, namun kekal sebahagian kerajaan perpaduan.

Pada pandangannya melalui Facebook semalam, gesaannya supaya Umno bertanding solo sebagai BN penting dalam strategi mengembalikan semula sokongan akar umbi yang didakwa menolak kerjasama dengan DAP. Alasannya ialah bertanding solo pada pilihan raya pernah dilakukan Umno ketika membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) dulu.

Untuk rekod, Isham sebelum ini menegaskan kenyataan pemimpin DAP bahawa mereka menjunjung Perlembagaan dan pada masa sama memperjuangkan slogan “Malaysian Malaysia” adalah bercanggah.

Menyanggah kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan Malaysian Malaysia seperti didesak sesetengah pihak, Isham menempelak bahawa mereka tidak boleh menjunjung Perlembagaan tetapi pada masa sama memperjuangkan Malaysian Malaysia kerana ideologi itu tidak selari atau tidak sepadan dengan Perlembagaan.

Isham, bekas ketua penerangan Umno menggantikan Shahril Hamdan sebelumnya, sangat konsisten dalam penilaiannya itu. Malah, dari selepas PRN enam negeri 12 Ogos lalu lagi, beliau lantang dengan teguran yang bertemakan ‘Kejar 500 undi DAP, Umno hilang 5,000 undi Melayu’.

“Umno telah kalah lagi. Kali ini kalah teruk, hanya menang 19 kerusi daripada 108. Kita menang satu kerusi di Kelantan, dua di Pulau Pinang, dua di Selangor dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain, semua kita kalah.

“Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak Umno akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU16. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik kerana kita kini berada dalam keadaan yang getir dan kritikal.

“Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi Perikatan Nasional. Ini yang berlaku di enam negeri ini,” katanya ketika itu.

Ia pandangan ikhlasnya yang turut mewakili suara akar umbi yang diharapkannya turut mendapat perhatian kepimpinan tertinggi parti tapi jelas tidak disenangi dalam Umno sendiri.

Seakan-akan sudah jadi lumrah dalam Umno, orang yang bercakap terbuka sepertinya akan segera ‘dipangkah’. Berselang cuma lima hari selepas PRN itu, Isham difitnah sebagai menganjurkan satu acara duduk berhimpun bagi protes senyap di Pusat Dagangan Dunia (WTC) untuk menuntut Zahid meletakkan jawatan presiden.

“Terdapat mereka yang mahu memburuk-burukkan saya, mereka kata saya yang anjurkan protes ini. Kepada sesiapa yang cuba memfitnah saya, nasihat saya bertaubatlah,” katanya di Facebook sebagai penafian.

Namun, pisau sudah pun dihunuskan terhadap Isham, dengan mereka yang didakwa sebagai ‘jurucakap’ presiden dan parti tidak lagi berselindung untuk meletakkan beliau di tempat yang dirasakan wajar oleh mereka.

“Saya nampak Isham dah berubah dengan dahsyat sekali, 180 darjah berubah, semenjak beliau tidak dilantik semula sebagai ketua penerangan Umno Malaysia. Sebelum ni, masa kita bergabung dengan DAP, dia masih ketua penerangan satu bulan.

“Tapi nak marah presiden tak boleh, sebabnya yang dia pergi bertanding MKT kenapa, dan dia menang. Kebetulan calon naib presiden Azalina Othman tewas, maka presiden pun mengangkat dia sebagai ketua penerangan. Semenjak dari peristiwa itulah saya tengok dia dah lain macam,” kata ahli MKT, Lokman Adam.

Isham turut dipersalahkannya kerana mengeluarkan kenyataan yang dia akan bantu Umno tapi tidak akan bantu DAP yang dianggap tidak perlu kerana hanya mengusutkan lagi hubungan dengan parti gabungan PH itu.

“Bila dia sebagai ahli MKT dia sambung ayat tu ‘saya tidak akan bantu DAP’, maknanya dia menolak keputusan yang dibuat MKT untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang dalam tu ada DAP.

“Jadi, kalau dia berasa dia tidak bersetuju dengan pendirian yang telah dibuat, yang dia persetujui ketika dia ketua penerangan Umno, dia rasa pendirian parti ini patut ikut apa yang dikehendaki oleh PN, dia nak supaya parti ini bekerjasama dengan PN, bukan dengan PH, bukan dengan DAP, maka sewajarnya dia meletakkan jawatan sebagai ahli MKT. Kalau dia masih lagi berada sebagai MKT, setiap tindakan dia menyusahkan kita,” kata Lokman lagi.

Isham, seorang sarjana lulusan Harvard, menjawab bahawa beliau sudah banyak kali mengutarakan pandangan kepada MKT melalui WhatsApp mahupun mesyuarat fizikal, namun akur bahawa ia bukanlah pandangan popular.

“Saya terima hakikat jika pandangan saya ini bagai mencurah air di daun keladi. Saya hanya ingin selamatkan parti, survival parti yang saya sayangi ini kini menjadi taruhan dan dalam keadaan getir. Kita perlu berani dan kuat dalam perjuangan.

“Jika kita takut dan lemah, kita akan mengikut sahaja dan tidak berani menegur walaupun kita nampak halatuju kapal ini menuju kemudaratan. Ini tidak baik. Perjuangan Umno untuk orang Melayu adalah lebih besar daripada perjuangan mana-mana individu,” katanya.

Umno pada Januari lalu menyingkirkan melalui pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpinnya termasuk Khairy Jamaluddin, Noh Omar, Shahril Hamdan, Hishamuddin Hussein, Fathul Bari Mat Jahya, Maulizan Bujang, dan Mohd Salim Shariff. Mungkin pada mereka, seorang lagi tidak akan memberi banyak perbezaan demi menjaga hati pemimpin DAP.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.