Masalah komunikasi Anwar
Setelah menerima tamparan dalam PRN Melaka pada November 2021, sehingga tewas kesemua kerusi yang ditandingi, PKR mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRN Johor dengan logo sendiri.
Saya terbeliak kerana keputusan ini seolah-olah membayangkan bahawa kekalahan PKR dalam PRN Melaka disebabkan logo, sedangkan banyak isu yang membelenggu Anwar Ibrahim, PKR dan Pakatan Harapan pada ketika itu. Kredibiliti Anwar jatuh merudum selepas dakwaannya memiliki bilangan kerusi yang “strong, formidable and convincing” dibuktikan sebaliknya. Media sosial sarat dengan sindiran, malah suasana ruang wacana bahasa Cina pun tidak memihak kepada Anwar.
Menurut seorang petugas parti yang juga rakan saya, “Memang itulah alasan (kalah kerana logo) yang dibangkitkan dalam mesyuarat cabang parti. Tiada yang sanggup bercakap benar sungguhpun kita sedar bagaimana Anwar menjadi sasaran kritikan di media sosial, sebagaimana yang kita perhatikan dalam kalangan kita.”
Dari situ saya sedar, bahawa sungguhpun Anwar agak kerap untuk turun ke padang, namun beliau tidak semestinya terdedah kepada sentimen akar umbi sebenarnya. Ada sahaja penapisan sebelum kata-kata itu disampaikan kepadanya, sama ada disebabkan rasa takut, hormat ataupun bodek.
Bayangkan, keadaan ini berlaku ketika Anwar menyandang jawatan ketua pembangkang parlimen, merangkap presiden PKR dan pengerusi PH. Sudah tentu kita boleh menjangka apa yang berlaku sekarang, ketika Anwar menerajui tampuk kuasa tertinggi dalam kerajaan sebagai perdana menteri. Beliau akan disuapkan maklumat dan mesej oleh orang yang mengepung di sisinya, malah diwujudkan satu suasana sehingga apa yang terdedah kepadanya, tidak mencerminkan realiti secara menyeluruh.
Polemik sistem kuota universiti
Situasi sebeginilah yang menyorok dimensi tertentu dari pandangan Anwar, ketika tokoh politik ini membuat pertimbangan mahupun keputusan. Keputusan PRN Johor tahun 2022 menjadi bukti bagaimana ralat boleh berlaku, antara realiti dengan “suara akar umbi” yang sampai ke telinga Anwar. Mungkin Anwar juga terbuai dengan harapan bahawa PH/BN boleh menang (atau kalah tipis) di Kedah, setelah disuapkan maklumat risikan, diyakinkan lagi apabila ceramah politiknya dibanjiri penduduk tempatan.
Sememangnya, ramai yang mengagumi kesungguhan sosok berusia 76 tahun ini untuk menyantuni masyarakat akar umbi melalui program dialog, ceramah dan sebagainya, namun ada juga suara yang mempertikaikan, sejauh manakah keberkesanan dan kemampanan kaedah ini, setelah memperlihatkan beberapa polemik yang tercetus sepanjang tempoh sembilan bulan ini?
Petik contoh ketika Anwar menjawab soalan sistem kuota dari seorang pelajar keturunan India di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, dalam tempoh kempen pilihan raya enam negeri. Entah itu program ke berapa dalam jadual hariannya, Anwar kelihatan hilang kesabaran, sehingga nadanya sedikit lebih keras ketika berdepan dengan pelajar tersebut.
Namun faktor latar belakang sedemikian tidak akan diambil kira orang umum ketika menilai reaksi Anwar, kerana Anwar sendiri yang mahu berdepan dengan khalayak awam. “Andainya terlalu letih, atau hilang sabar untuk menjawab soalan kontroversi, janganlah diaturkan program sebegini.” Tiada salah pun bagi mereka yang menuntut agar Anwar lebih sabar, bukan?
Padahal, Anwar boleh bermula dengan pendekatan untuk memahami keresahan yang diluahkan, disusuli dengan prinsip yang sering ditegaskan dirinya, iaitu tindakan afirmatif yang berdasarkan keperluan dan bukan kaum, sebelum menjelaskan pendirian kerajaan, juga kekangan realiti sedia ada.
Namun, dengan mencelah sebelum pelajar itu menghabiskan soalannya, ia memberi persepsi yang kurang baik, terutamanya dari kaca mata kaum bukan Melayu. Sebagaimana yang dijangka, ia mencetuskan polemik khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, sehingga pemimpin bukan Melayu PH sukar mempertahankan Anwar dalam hal ini.
Idea dilontarkan tanpa perincian
Beberapa iktibar boleh diambil dari kejadian sekecil ini.
Pertama, Anwar sepatutnya mengagihkan tugasnya dalam kalangan pasukan kabinetnya. Ramai yang berseloroh bahawa Anwar kini perdana menteri merangkap menteri kewangan, pelaburan, agama, pendidikan, luar negeri, dan ketika diperlukan, mengadakan lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyaksikan sendiri bagaimana kaunter imigresen berfungsi.
Itupun belum mengambil kira aktiviti kempennya selaku pengerusi PH dari hulu ke hilir sepanjang PRN. Selain kebimbangan sama ada sosok tubuh itu mampu menampung kepenatan sebegitu, ramai yang tertanya-tanya, apakah Anwar memiliki masa yang secukupnya untuk membuat keputusan dasar, yang menentukan hala tuju negara untuk jangka panjang?
Kedua, risiko Anwar hilang fokus apabila Anwar menjadi fokus untuk segala-gala isu, seolah-olah beliau jurucakap dalam semua bidang. Kita faham, dengan usia 76 tahun, Anwar mungkin terlanjur semasa berucap, barangkali disebabkan caranya mengolah sesuatu idea, lebih-lebih lagi apabila fokusnya terjejas lantaran keletihan yang melonggok dalam jadual kerja harian yang padat.
Malah, tanpa menguasai butiran terperinci daripada kementerian, lontaran idea secara mengejut boleh menimbulkan polemik yang sepatutnya boleh dielakkan. Isu sekolah khas untuk keluarga miskin, Modul Hadis 40 Imam Nawawi misalnya, diutarakan seolah-olah tanpa persediaan rapi.
Lantas ia mengundang pertikaian, apakah itu satu bentuk diskriminasi jikalau kita membina sekolah khas untuk golongan miskin? Dalam isu Hadis 40 pula, ada yang melontarkan soalan nakal, bagaimana jikalau yang mengajar adalah ustaz dan ustazah yang terjebak dengan fahaman melampau, memandangkan ia diperkenalkan kononnya kerana terdapat unsur-unsur ekstremisme dalam masyarakat kita?
Ketiga, sesungguhnya program dialog sedemikian memberi ruang agar masalah yang terabai selama ini dibangkitkan, misalnya masalah kekurangan sekolah pendidikan khas menengah di sesetengah negeri, namun ada kala juga ia mengheret perdana menteri ke dalam isu yang agak remeh, kerana ia bergantung kepada mereka yang mengajukan soalan.
Saya terkejut apabila terbaca dakwaan di media sosial bahawa Anwarlah yang mula-mula membangkitkan garis panduan konsert dalam universiti, yang hangat dipertikaikan baru-baru ini. Setelah menyemak, barulah saya sedar bahawa Anwar mengulas isu konsert untuk menjawab soalan seorang pelajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Jun 2023 dalam program “Temu Anwar Kelantan”.
Ketepikan sama ada adil atau tidak tuduhan tersebut, yang pasti, liputan media menunjukkan seorang perdana menteri sedang mengulas satu isu yang nampak remeh. Bukan sahaja ia mengundang kritikan yang diasak dari kiri dan kanan, malah yang paling dahsyat, ruang komennya diisi dengan sindiran, “PMX tak ada kerja lain kah?”
Komunikasi yang lemah
Mungkin tiba masanya, Anwar menyesuaikan kaedah komunikasinya sejajar dengan peredaran zaman, memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat dan media sosial sedia ada, di samping mengurangkan keletihan yang boleh menjejaskan keberkesanan penyampaian mesejnya, juga membebankan kesihatannya.
Kuncinya bukan kuantiti, tetapi kualiti. Bukan rahsia lagi bahawa tokoh politik di merata dunia mengupah pasukan pemikir yang profesional untuk merangka ucapan dirinya, bahkan dilengkapi dengan badan tinjauan yang mampu membuat unjuran secara tepat kesan sesuatu kenyataan terhadap jatuh naik popularitinya.
Dengan meminimumkan kesilapan yang boleh diperbesarkan musuh politik, atau disalah tafsir pengundi, separuh masanya yang diperuntukkan untuk menjernihkan yang keruh, dapat dijimatkan. Maka Anwar dan kerajaan Madaninya akan keluar dari “kedudukan bertahan”, sebaliknya memberi lebih tumpuan untuk membina naratif sendiri.
Ramai yang menuding jari ke arah menteri komunikasi dan JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) secara spontan apabila dibangkitkan kelemahan komunikasi dan pembinaan naratif kerajaan. Tetapi, untuk berlaku adil, tiada calon yang mampu mencapai 100 peratus prestasinya pada kedudukan itu. Skopnya terlalu luas, dan Kerajaan Madani ini memerlukan satu pelan yang menyeluruh, dengan pendekatan yang seiring rentak zaman untuk perang informasi.
Harus kita sedar, bahawa kebaikan yang tidak tersusun akan tewas kepada kejahatan yang terancang. Menyalahkan seseorang individu tidak membantu untuk menyelesaikan masalah, mengharapkan seseorang individu, juga tidak membantu untuk menyelamatkan keadaan. Kaedah komunikasi yang lama sudah tidak relevan. Anwar pada usia 76 tahun harus work smart, berbanding work hard.
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.