https://critoxium.com/shop/

Terkini

Projek cetak buku KPM: Banyak bukti baru dikumpul, kata SPRM

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, agensi itu berjaya mengumpul banyak bukti baru dalam siasatan isu rasuah berkaitan projek percetakan buku di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ia susulan penahanan dua individu termasuk bekas setiausaha politik seorang bekas menteri bagi membantu siasatan projek bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan rundingan terus.

“Kes ini masih aktif disiasat dan banyak bukti baru yang dikumpulkan pegawai penyiasat SPRM. Bagaimanapun, (memandangkan) ia (kes) baru… jadi beri kita masa sikit,” katanya.

Azam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program SPRM Menembak Bersama Media sempena ulang tahun suruhanjaya itu yang ke-56 di Kajang, hari ini.

Pada 23 Sept lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan bekas setiausaha politik itu dan seorang pemilik syarikat percetakan pada 22 Sept bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, mengulas mengenai kegusaran orang ramai berkenaan isu kekurangan bekalan beras putih tempatan meskipun Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memberi jaminan bekalannya mencukupi, Azam memberitahu SPRM belum menerima sebarang laporan.

“Saya beri jaminan kalau ada pihak yang terlibat dalam isu ini, terutama sekali sekiranya ada unsur rasuah dalam pembekalan beras termasuk ada pihak yang merasuah mana-mana pihak berkuasa, sudah tentu SPRM akan ambil tindakan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menafikan dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan berpunca daripada tindakan pembekal menyorokkan stok dan menjamin tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara.

- Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.