https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mujahid tuntut Dusuki henti fitnah, bayar RM1 juta




Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa berkata dia telah memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas pemimpin Dewan Ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani kerana berterusan mengeluarkan fitnah terhadapnya.

Katanya, kenyataan berunsur fitnah itu dikeluarkan susulan kekalahan Dusuki dalam saman fitnah terhadapnya sebelum ini.

"Saya juga mendapati kenyataan-kenyataan Dusuki mempunyai unsur-unsur penghinaan kepada Mahkamah apabila Dusuki dilihat bukan sahaja mempertikaikan, malah memperlekehkan dan memutarbelitkan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata Mujahid dalam satu kenyataan.

Menurut Mujahid, peguamnya dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir hari ini telah mengeluarkan notis tuntutan kepada Dusuki bagi memadamkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah dan mengelirukan tersebut dalam tempoh 48 jam.

Selain itu, Mujahid juga menuntut Dusuki berhenti memberikan kenyataan berunsur fitnah dan mengelirukan terhadapnya serta membayar gantirugi berjumlah RM1,000,000.

"Peguamcara saya melalui satu notis bertarikh 5 Sept 2023 turut telah menuntut Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000 dalam tempoh 14 hari.

"Sekiranya Dusuki gagal mematuhi tuntutan-tuntutan saya, saya tidak teragak-agak akan teruskan dengan tindakan Mahkamah terhadap Dusuki, termasuk prosiding menghina mahkamah," ujarnya.

Pada 29 Ogos lalu, Mujahid memberitahu bahawa Ahmad Dusuki telah menarik balik proses mahkamahnya di Mahkamah Rayuan sebagai pengakuan pemimpin PAS berkenaan mengenai tiada aset Tabung Haji yang dijual kepada orang bukan Islam.

Mujahid berkata, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Ahmad Dusuki membayar kos sebanyak RM5,000 kepadanya.

Bagaimanapun, sehari selepas itu pemimpin PAS berkenaan menyindir Mujahid, dengan membangkitkan kekalahan bekas menteri agama itu dalam pilihan raya umum ke-15 di parlimen Parit Buntar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.