https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ugut keluar Kerajaan Perpaduan, MUDA tahu kesan tindakan - Saifuddin Nasution

JOHOR BAHRU: Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang menggugut keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, disifatkan sebagai satu reaksi.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah parti politik, MUDA seharusnya tahu baik dan buruk di sebalik tindakan yang bakal diambil.

"Itu saya anggap sebagai satu reaksi yang diluahkan dan sebagai sebuah parti politik, MUDA tahu baik buruk sesuatu tindakan yang mereka buat.

"Saya tidak ada sebarang komen apa-apa kerana mereka berhak untuk bertindak mengikut pertimbangan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, di sini malam Selasa.

Terdahulu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan selaras dengan keputusan mesyuarat parti yang diadakan pada Isnin, selain menyifatkannya sebagai ‘garis merah’ yang sudah dilanggar.

Justeru Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, MUDA akan menggerakkan kempen dan protes sekiranya beberapa tuntutan tidak ditunaikan sebelum parti itu bertindak keluar kerajaan.

Mengenai desakan MDA agar Jabatan Peguam Negara menjelaskan di Parlimen mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, parti itu boleh mengusulkan perkara berkenaan pada sidang Dewan Rakyat.

"Ya MUDA boleh usulkan, bentang atau tidak itu keputusan Speaker kerana aturan urusan mesyuarat dibuat oleh Speaker," tambah beliau.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Hakim Collin berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.



Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.