https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hina Sultan Selangor: Polis anggap kes 'Iman Mustaqim' selesai


Polis menganggap kes 'Iman Mustaqim' yang menghina Sultan Selangor telah selesai apabila individu berkenaan dijatuhi hukuman oleh mahkamah hari ini.

'Iman Mustaqim' ataupun nama sebenarnya Mohamad Azlan Ibrahim dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Sultan Selangor.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran ataupun mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman.

"Pertuduhan telah dijalankan terhadap suspek di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada 6 Sept, di atas dua tuduhan dan dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 233 AKMM 1998-dihukum enam bulan penjara, Seksyen 249 AKMM 1998- denda RM10,000.

"Tetapi suspek tidak dapat membayar denda dan akan jalani hukuman penjara selama sembilan bulan.

"Dengan pertuduhan ke atas suspek, kes ini telah selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakim N. Priscilla Hemamalini hari ini memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Azlan didakwa membuat hantaran komunikasi jelik terhadap sultan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebooknya, menggunakan laman profil ‘Iman Mustaqim’ pada 28 Ogos lalu.

Pautan itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di Kuala Lumpur pada 11.37 pagi, 29 Ogos.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mohamad Azlan juga didakwa gagal memberi kata laluan laman profil aplikasi Facebook `Iman Mustaqim’ yang diminta oleh seorang pegawai polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 242 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.