Sijil nak bergaduh siang malam
"Nasi ayam Hotel Tong Nam Ah," kata Kepuk semasa kami bercakap mengenai makanan tak halal.
Kepuk budak dari Sekolah Sultan Abu Bakar Kuantan (SABS). Dan memang pun jika dibandingkan dengan budak Sekolah St Thomas, budak SABS bukannya senonoh sangat apabila datang bab makan.
Bahkan mungkin juga dalam banyak bab yang lain.
Budak St Thomas, walaupun didik oleh father dan sisters mereka sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan.
Mereka beriman cara begitu.
Antara kedai makan di bandar Kuantan yang terkenal dengan nasi ayam ialah Restoran Bunga Raya yang terletak di bawah Hotel Tong Nam Ah, berhampiran dengan panggung Rex serta sebuah lagi restoran yang berhampiran dengan panggung Cathay.
Kepuk, Abu, Lokman, Bun, Dimunoh dan Smith adalah antara pelanggan tetap restoran itu.
Hotel Tong Nam Ah sekarang sudah menjadi Restoran Kalsa, manakala Restoran Bunga Raya pula kami tidak perasan apa jadi kepadanya. Hanya kedai yang berhampiran dengan panggung Cathay masih bertahan.
Dan semua kedai tersebut menghidangkan nasi ayam yang tidak halal.
Panggung Rex kini adalah kedai perabot, sementara panggung Cathay pula dijadikan pasar raya yang hari-hari kerjanya adalah membuat bising.
Kami dari St Thomas dan tidak melanggan kedai-kedai berkenaan. Yang baiknya budak SABS ini, jika kami dari St Thomas memerlukan tenaga tambahan ketika datang waktu nak bergasak, mereka dengan rela hati datang membantu.
Jika dikenang kembali, tahulah kami yang makanan yang tidak baik mungkin akan melahirkan mereka yang senang diajak bergaduh.
Pun begitu, kantin sekolah kami diusahakan oleh orang bukan Islam. Itu adalah pada masa yang lebih lama dari sekarang. Ia merupakan zaman halal dan haram makanan (kantin) tidak begitu diperhatikan.
Semua nak campur tangan
Sekali peristiwa, didapati seekor anjing tertidur di dalam kuali di kantin sekolah, lalu ia menjadi berita hangat. Pelajar yang beragama Islam sangat terganggu dengan peristiwa tersebut.
Sepanjang hari itu, tidak ramai yang makan di kantin.
Esoknya, keadaan kembali seperti asal seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Kami kembali beratur untuk membeli mi kari (yang paling sedap di dunia) dan juga karipap yang digoreng dalam kuali yang mencetuskan ketegangan semalamnya.
Hal halal dan haram makanan di Malaya ini sudah terlalu lama diperdebatkan. Apabila datang sesuatu isu, kita pun mula bising dan semua orang mahu campur tangan.
Yang hanya makan makanan halal akan segera melenting manakala mereka yang membantai apa saja yang melintas juga akan segera mengeruhkan keadaan.
Kita sudah tidak reti untuk memberi hormat kepada satu sama lain. Apa yang kita mahu ialah dilihat sebagai hero kepada sesuatu kumpulan. Akhirnya semua kita menjadi si dunggu yang menadah leher untuk dipergunakan.
Mereka yang bertanggungjawab memberikan pengesahan halal atau haram sesuatu makanan akan sentiasa memberi alasan bahawa mereka kekurangan kakitangan untuk memudahkan permohonan.
Mereka yang entah dari mana kepentingannya pula akan sentiasa mencari sebab untuk mempertikaikan mengapa pengesahan suci atau tidaknya itu adalah beban yang tidak tertanggung.
Mereka yang untung RM100 sehari akan mengadu terbeban, manakala yang untung beratus juta setahun juga akan datang dengan hiba sambil mengadu diberatkan.
Semua orang akan berasa dirugikan apabila diminta untuk bertanggungjawab.
Dalam hal yang lain, proses mendapat kelulusan sijil halal sudah agak mudah sebenarnya. Suatu masa dulu pengusaha restoran, misalnya, adalah orang yang paling terbeban apabila mahu memohon sijil berkenaan.
Mereka memerlukan peralatan khas dan juga kosnya juga agak tinggi. Kini prosesnya sudah agak ringan dan tidak mengambil masa begitu lama.
Dikhabarkan yang pengusaha kedai makan boleh mendapat pengesahan halal dalam masa satu bulan jika semua peraturan dipatuhi. Belanja yang diperlukan untuk proses itu juga agak munasabah.
AJK masjid tukang pantau
Sijil halal sepatutnya menjadi syarat kepada mereka yang mahu memasarkan produk kepada orang awam sebagaimana semua restoran wajib memiliki lesen perniagaan dan juga kad kesihatan pekerja.
Di Indonesia, semua perniagaan mesti mempunyai pengesahan halal sebelum mereka dibenarkan untuk membuka rumah makan.
Pengesahan ini diperlukan sebelum sebarang perniagaan dibenarkan memulakan operasi.
Sesuatu yang menarik mengenai Thailand ialah apabila kilang-kilang besar yang menyediakan makanan halal dipantau oleh jawatankuasa masjid yang berhampiran dengan mereka.
Di sebelah selatan misalnya, kilang CP yang terkenal sebagai pembekal makanan halal di seluruh dunia itu dipantau oleh jawatankuasa sebuah masjid yang telah diberi kuasa untuk berbuat demikian.
Kamu boleh dapati produk syarikat tersebut ada di kebanyakan kedai serbaneka di tempat kamu. Dengan memberikan tanggungjawab tersebut kepada jawatankuasa masjid, beban kerja yang dihadapi oleh penguat kuasa agama negara dapat dikurangkan.
Justeru Jakim boleh memberikan latihan yang betul kepada ahli jawatankuasa masjid terpilih bagi mengurangkan tekanan kerja kakitangan jabatan itu.
Biasanya AJK masjid yang ada paa hari ini bukan calang-calang latar belakang masing-masing. Mereka tentu rasa dihargai dan akan sangat beretika jika diberikan tanggungjawab sedemikian.
Dan di Malaya ini siapakah yang lebih Islami jika bukan AJK masjid!
CP bukanlah sebuah syarikat milik orang Islam namun atas rasa tanggungjawab mereka memastikan bahawa semua produk yang dilabel sebagai halal dikeluarkan mengikut piawaian yang ditetapkan. Mereka melakukannya dengan jujur.
Hari ini jika kami rasa teringin makan nasi ayam, kami akan ke gerai Arked Kemunting. Gerainya terletak di sebelah tandas awam.
Walaupun kami yakin makanannya adalah halal, kami tidak rasa kedai tersebut akan memperoleh sijil halal jika dilihat kepada persekitarannya.
Dilanggan penuh selera
Seperti mana-mana kedai Melayu, kebersihan bukanlah sentiasa dijadikan ciri utama. Kami pun - seperti Melayu yang lain - telan sajalah.
SABS terkenal kerana melahirkan dua orang guru iaitu Lokman Lazim dan juga Hasbullah Latif.
Semasa kami mahu menghantar anak-anak ke sekolah, kami terlebih dulu akan memastikan yang kedua-dua guru terbabit tidak mengajar di sekolah berkenaan.
Kami kenal guru-guru berkenaan dan kami curiga jika mahu membenarkan mereka mendidik anak-anak kami.
Hal yang sama juga dirasakan oleh mereka yang mengenal dua sosok guru tadi. Mujur kini mereka telah bersara daripada berkhidmat sebagai guru.
Di Kuantan hari ini terdapat dua buah kedai yang tidak pernah mengisytiharkan kehalalannya namun dilanggani dengan penuh selera oleh orang ramai.
Satu daripadanya ialah sebuah restoran yang sangat riang-ria manakala yang sebuah lagi merupakan kedai mi kari yang terletak di Teluk Chempedak.
Orang Kuantan memang cempera.
Pelanggannya bersumpah yang makanan di kedua-dua kedai tersebut adalah yang terbaik antara semua kedai yang ada. Mereka dengan senang hati menikmatinya.
Kami tidak pernah makan di kedua-dua kedai tersebut namun pernahlah sekali dibawa oleh Cina Gua Musang untuk bertemu dengan editor portal ini di sebuah kedai.
Di kedai berkenaan kami memesan makanan Cina kegemaran kami, chee cheong fun.
Sangka kami pada awalnya, sang editor dan juga Cina Gua Musang itu tentu saja akan memilih kedai yang suci lagi bersih untuk bersarapan.
Ternyata kami tersilap sangka kerana setelah beberapa hari dan melintas lagi dikedai berkenaan, kami dapati kedai tersebut tidak mempunyai sijil halal.
Patutlah setelah keluar dari kedai tersebut pada hari itu, kami jadi seperti budak SABS, yakni nak bergaduh siang dan malam.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan sangat menikmati makanan Negeri Sembilan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.