https://critoxium.com/shop/

Terkini

Benarkan tahi lalat tanda kanser?


TAHI lalat tanda pada kulit yang biasanya berwarna coklat, hitam atau kemerahan.

Ia boleh muncul di mana-mana bahagian tubuh manusia, sama ada sejak lahir ataupun terbentuk kemudian.

Walaupun kebanyakan tahi lalat tidak berbahaya, terdapat tanggapan masyarakat, tahi lalat boleh menjadi tanda kepada penyakit berbahaya seperti kanser kulit.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan bahawa tahi lalat boleh menjadi tanda kanser?

Dari sudut perubatan, tahi lalat terbentuk apabila sel pigmen (melanosit) pada kulit tumbuh secara berkumpul di satu kawasan.

Secara umumnya, tahi lalat bersifat 'jinak' dan tidak menjejaskan kesihatan seseorang. Namun, dalam keadaan tertentu, sel-sel itu boleh berubah menjadi sel kanser kulit, terutamanya kanser jenis melanoma.

Melanoma salah satu jenis kanser kulit yang berbahaya kerana ia boleh merebak ke organ lain dalam badan jika tidak dirawat lebih awal.

Pakar perubatan menggunakan satu kaedah mudah dikenali sebagai kaedah "ABCDE" untuk menilai sama ada sesuatu tahi lalat berpotensi menjadi kanser.

Huruf A merujuk kepada Asimetri (bentuk tidak seimbang), B kepada Border/tepi (tepi tahi lalat tidak rata, bergerigi dan kabur) manakala C adalah Colour/warna (warna tidak sekata atau bercampuran).

Sementara, D kepada Diameter (saiz lebih besar daripada 6 milimeter), dan E merujuk Evolving/berubah (perubahan dari segi saiz, bentuk atau warna dari semasa ke semasa).

Sekiranya tahi lalat seseorang menunjukkan salah satu daripada ciri-ciri ini, individu berkenaan disarankan untuk segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Selain itu, faktor genetik dan pendedahan kepada cahaya matahari secara berlebihan juga boleh meningkatkan risiko berlakunya kanser kulit.

Sinaran ultraungu (UV) daripada matahari boleh merosakkan DNA dalam sel kulit, menyebabkan pertumbuhan sel tidak normal dan akhirnya membawa kepada kanser.

Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan seperti menggunakan losyen pelindung matahari, memakai pakaian yang menutupi kulit, serta mengelakkan diri daripada terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari terik.

Walaupun ada tahi lalat yang boleh menjadi tanda awal kanser, tidak semua tahi lalat berbahaya. Ramai orang mempunyai banyak tahi lalat tetapi tidak menghidap sebarang penyakit kulit.

Namun, sikap berhati-hati tetap penting, terutamanya jika tahi lalat mengalami perubahan ketara seperti berdarah, gatal, berkeruping, atau membesar dengan cepat.

Pemeriksaan awal oleh pakar kulit boleh membantu mengesan tanda-tanda awal kanser dan meningkatkan peluang untuk sembuh sepenuhnya. Dakwaan tahi lalat tanda kanser ada kebenarannya, tetapi tidak semua tahi lalat menunjukkan tanda penyakit tersebut. Pengetahuan tentang perubahan pada tahi lalat serta pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting bagi mencegah risiko kanser kulit.

Oleh itu, masyarakat perlu lebih peka terhadap perubahan pada kulit mereka dan segera mendapatkan nasihat perubatan jika terdapat sebarang tanda yang mencurigakan. Langkah pencegahan awal jauh lebih baik daripada merawat penyakit yang telah melarat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.