Polemik dalaman parti: Saifuddin sahkan dipanggil Lembaga Disiplin BERSATU
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dipanggil Lembaga Disiplin (LD) BERSATU dipercayai susulan polemik dalaman parti berkait kenyataan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saifuddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, mengesahkan beliau telah menerima notis hari ini untuk menghadiri perjumpaan dengan Lembaga Disiplin parti pada Khamis depan.
"Sekitar jam 1.52 tengah hari tadi, saya menerima notis untuk menghadiri sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa LD di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya pada jam 4.30 petang 6 November ini.
"Namun, saya meminta sesi itu diawalkan kerana ada program di luar Kuala Lumpur yang perlu dihadiri pada sebelah malam tarikh berkenaan.
"LD bersetuju (permintaan untuk meminda masa sesi berkenaan), jadi masa baharu ialah jam 2 petang," katanya.
Semalam, BH melaporkan 16 Ahli Parlimen BERSATU menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.
Melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu itu, mereka turut menegaskan pendirian bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal, sebagai langkah tidak bijak.
Mereka menyifatkan hukuman itu tidak kena pada masanya, sekali gus dilihat boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan PN oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Malah, mereka tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk memanggil Hamzah yang juga Timbalan Presiden BERSATU, ke Lembaga Disiplin, sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal.
Saifuddin - antara yang menandatangani surat itu - dilapor mengesahkan dokumen berkenaan sudah dihantarnya sendiri kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu.
Pada Khamis lalu, BH melaporkan tiga lagi Ketua Bahagian BERSATU dipanggil LD parti itu
Mereka ialah Ketua BERSATU Bahagian Pendang merangkap Ahli Dewan Undangan Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Datuk Mohd Suhaimi Ghazali (Sepang); dan Mohd Shukor Mustafa (Puchong).
Ketiga-tiga mereka dipercayai ialah antara kira-kira 120 Ketua Bahagian BERSATU yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada Hamzah.
Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan Lembaga Disiplin turut mengumumkan pemecatan keahlian empat Ketua Bahagian BERSATU.
Mereka ialah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur); dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.