https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hampir 'terkubur' di DUN Sabah, PKR akur isyarat rakyat


KEADILAN menghormati dan menerima dengan rendah diri keputusan rakyat dalam PRU Dewan Undangan Sabah kali ini. Suara rakyat adalah isyarat yang kami terima dengan hati terbuka - sebagai peringatan dan pengajaran yang sentiasa membawa hikmah buat mereka yang ikhlas berjuang.

Di tengah medan yang mencabar, KEADILAN telah diberi ruang bertanding di 12 kerusi, suatu peningkatan yang menzahirkan bahawa benih keyakinan terhadap KEADILAN sedang mula bercambah di bumi Sabah ini. Sokongan jentera dan anggota juga semakin mengukuh; ia mungkin bukan kemenangan pada angka, tetapi ia adalah kemenangan pada tekad dan kesungguhan.

KEADILAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera parti dan akar umbi yang telah mengorbankan masa, sumber dan tenaga tanpa lelah sepanjang kempen ini.

Kami sendiri menyaksikan keikhlasan itu, ada pakcik yang masuk hutan mengutip buluh untuk menegakkan bendera sehingga tercedera, ada juga wanita-wanita yang bergotong-royong memasak sejak awal pagi, memastikan semua jentera bertenaga untuk terus berkhidmat. Pengorbanan kecil bagi mereka, tetapi besar maknanya untuk perjuangan ini.

Pada masa yang sama, keputusan ini turut mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan lokal. Mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab.

Saya selaku Timbalan Presiden mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan ini.

Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution selaku Pengarah Pilihan Raya Bersama, kami sedar bahawa perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik.

Tahniah kepada semua calon yang diberikan mandat, termasuk kerusi tunggal yang diamanahkan kepada KEADILAN. Pikul amanah ini dengan kesungguhan, berkhidmatlah dengan tekad yang jujur, kerana setiap tindakan kalian akan menentukan masa depan rakyat yang memilih.

Kepada seluruh jentera, sukarelawan, dan penyokong setia, sejarah KEADILAN mengajar kita bahawa kekalahan tidak pernah menamatkan perjuangan. Perjalanan ini belum selesai. Selagi ada rakyat yang belum terbela, selagi ada keadilan yang belum ditegakkan - KEADILAN akan terus berdiri, bekerja, dan berjuang. Insya-Allah.

Demi Sabah. Demi Malaysia.

NURUL IZZAH ANWAR
Timbalan Presiden KEADILAN
Pengarah Pilihan Raya Bersama

DAT

UK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan
Pengarah Pilihan Raya Bersama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.